SKPSA2024 buka ruang perbincangan kepentingan AI
LANGKAWI – Seminar Kewangan dan Pengauditan Sektor Awam 2024 (SKPSA2024) kali Ke-11 telah membuka ruang perbincangan berkaitan dengan kepentingan Artificial Intelligence (AI) dalam pengurusan kewangan dan pengauditan dalam sektor awam.
Bertemakan Pemerkasaan Kewangan Awam: Integrasi Strategik Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence) dalam Perakaunan Dan Pengauditan, SKPSA anjuran Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA) dihadiri oleh 152 peserta daripada pelbagai sektor kerajaan termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Akauntan Negara, Jabatan Audit Negara, Majlis Agama Islam dan agensi-agensi lain yang turut serta dalam menjayakan acara ini.
Berucap di Majlis Makan Malam SKPSA2024, Penolong Naib Canselor UUMCOB dan Dekan TISSA, Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad menzahirkan penghargaan terima kasih atas sokongan semua peserta yang sentiasa mengikuti program tahunan ini sejak dari awal pelaksanaannya.
Program ini turut melibatkan beberapa orang pembentang iaitu Timbalan Ketua Pusat (Kewangan) INTAN Bukit Kiara, Dr. Darshana Kumari Ragupathy; Timbalan Akauntan Negara (Operasi), Jabatan Akauntan Negara, Noorlida Mohd Khalid; Prof. Dato’ Dr Noor Azizi Ismail (UMK); Rasmimi Ramli (Executive Director of Sustainability MIA); Prof. Madya Dr. Azizi Ab. Aziz (SOC UUM) dan Dr. Mohd Daniel Mohd Nassir (Timbalan Pengarah Audit, Jabatan Audit Negara).
Rata-rata peserta merasa amat berpuas hati dengan pelaksanaan SKPSA tahun ini dan terdapat peserta yang telah mengikuti SKPSA sejak dari awal pelaksanaan dan sentiasa ternanti-nanti untuk menyertai SKPSA pada tahun hadapan. – Abdul Razak Abdul Wahab