Education

Karya Kreatif Penulis Cilik Negeri Perlis cungkil bakat penulisan anak muda

KANGAR: Program Karya Kreatif Penulis Cilik Negeri Perlis adalah inisiatif Pusat Pengajian Pendidikan yang melibatkan sepuluh buah sekolah rendah terpilih sekitar Perlis dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, Persatuan Penulis Perlis, Jabatan Pendidikan Perlis, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis dan Muzium Kota Kayang.

Pengarah Program, Prof. Madya Dr. Nor Hasimah Ismail berkata, matlamat utama program ini adalah untuk mencungkil bakat penulisan dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan akhirnya berjaya menghasilkan buku karya kreatif yang berkualiti.

Menurutnya, fasa pertama ini berjaya menarik minat dan mengasah bakat penulisan dari peringkat sekolah rendah.

Katanya, penglibatan penulis cilik dalam program ini adalah langkah awal yang penting untuk membentuk kemahiran penulisan mereka sejak usia muda.

Fasa pertama program telah diadakan di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis yang melibatkan seramai 30 murid dari tahun 5 dan tahun 6.

Penceramah terkenal, Mohd Fairuz Mhd Padoli atau lebih dikenali dengan nama pena, MF Kencana telah dijemput untuk memberikan taklimat tentang teknik penulisan karya kreatif. Sesi ini diikuti dengan aktiviti ‘hands-on’ yang membolehkan murid mempraktikkan teknik yang dipelajari secara langsung.

Fasa kedua dijangka akan berlangsung pada September ini yang akan melibatkan pemurnian karya yang dihasilkan oleh murid-murid dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara dan Persatuan Penulis Perlis.

Tujuan utama fasa ini adalah untuk memperhalusi dan memperbaiki karya penulisan murid agar dapat diterbitkan sebagai buku karya kreatif.

Program Karya Kreatif Penulis Cilik Negeri Perlis merupakan platform penting dalam mencungkil dan mengasah bakat penulisan di peringkat sekolah rendah.

Dengan penyertaan dan sokongan daripada pelbagai pihak, program ini dijangka dapat mencapai matlamatnya dalam memupuk minat dan kemahiran penulisan dalam kalangan penulis cilik negeri Perlis. – Prof. Madya Dr. Farah Mohamad Zain

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button