Campus

PTM beri pendedahan dan penyesuaian minda pegawai lantikan baru

SINTOK: Unit Latihan, Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, Jabatan Sumber Manusia (JSM) telah menganjurkan Program Transformasi Minda (PTM) Bil. 1/2024 pada 1 hingga 5 September lalu di Dewan Sri Angsana, EDC UUM.

Program ini disertai 68 staf daripada Kumpulan Pengurusan dan Profesional (Akademik) Universiti Utara Malaysia (UUM).

Program ini diperkenalkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk memberi pendedahan dan penyesuaian minda pegawai di peringkat awal pelantikan dalam perkhidmatan awam. Oleh itu, program ini merupakan program yang wajib dihadiri oleh staf sebagai salah satu syarat pengesahan dalam perkhidmatan.

Sepanjang lima hari PTM berlangsung, pelbagai pengisian telah disempurnakan oleh barisan penceramah dari pelbagai agensi kerajaan, antaranya INTAN Wilayah Utara, Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Jabatan Sumber Manusia dan Jabatan Undang-undang UUM yang mencakupi 3 segmen iaitu Segmen Negara dan Perkhidmatan Awam, Segmen Peranan dan Tanggungjawab dan Segmen Budaya Kerja Cemerlang.

Pendaftar UUM, Ahmad Rasidi Abdullah dalam ucapannya menegaskan bahawa etika profesional dan integriti adalah perkara yang sangat penting.

Beliau mengharapkan pensyarah muda mematuhi kod etika universiti dan memastikan setiap tindakan mereka mencerminkan integriti dalam akademik, pentadbiran, dan interaksi dengan pelajar.

“Pensyarah muda juga perlu memberi komitmen penuh terhadap tugas pengajaran. Ini termasuk menyediakan bahan pengajaran yang relevan, menggunakan pendekatan pedagogi yang berkesan, dan memastikan pelajar mendapat pendidikan yang berkualiti,” katanya.

Peserta program turut meluahkan rasa puas hati dengan pengisian dan kualiti program ini. Program ini merupakan satu platform untuk mereka memahami dan menyesuaikan diri dengan budaya kerja yang unik dalam sektor awam, termasuk hierarki, formaliti, dan tanggungjawab.

Program Transformasi Minda ini diharapkan dapat mencapai objektif program bagi melahirkan pegawai dengan minda kelas pertama selaras dengan matlamat ke arah Universiti Pengurusan Terkemuka dan menggalakkan pemikiran yang selari dengan aspirasi universiti. – Nurul Balkis Abdullah

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button