‘Program Kami Sayang Kamu’ santuni pelajar autisme NASOM
SINTOK: Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan Program Jaringan Komuniti “Program Kami Sayang Kamu” yang melibatkan 24 pelajar autisme dari Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) Alor Setar, baru-baru ini.
Program ini merupakan initiatif bersama Jawatankuasa Jaringan Komuniti dan SULAM serta Jawatankuasa Industri dan Korporat, SBM.
Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Dr. Norzalila Jamaludin berkata, program ini bertujuan untuk memupuk kesedaran bahawa setiap insan adalah istimewa termasuklah kanak-kanak yang mempunyai masalah autisme.
Malahan, menurutnya, program ini juga diharapkan dapat menyebarkan maklumat berkaitan autisme kepada semua masyarakat dan warga universiti.
Wakil dari KPJ Perlis, Dr. Fauzana A. Mokhti turut terlibat dalam menyampaikan maklumat dan kesedaran tentang autisme melalui ‘Sesi Sembang Santai bersama KPJ Perlis’.
Sesi yang disertai oleh ibu bapa pelajar-pelajar autisme di NASOM ini memberikan impak positif terhadap usaha-usaha membangunkan kesedaran awam terhadap kanak-kanak autisme.
Lebih menarik, seorang TikToker popular di Perlis, Mohd Hafiz Md Yatim atau lebih dikenali sebagai Aizat juga turut bersama-sama menyertai program ini dengan membuat perkongsian kepada ibu bapa pelajar-pelajar autisme.
Beliau memberikan kata-kata motivasi kepada ibu bapa dalam menguruskan hal-hal seharian berkaitan dengan anak-anak autisme.
Pelbagai aktiviti telah diadakan sepanjang program ini berlangsung antaranya mewarna (meningkatkan kemahiran motor halus bagi pelajar autisme), kerusi berirama (kemahiran mendengar dan membuat keputusan), serta belon air.
Kesemua aktiviti ini bertujuan untuk membantu pelajar-pelajar autisme dalam mengkoordinasikan pergerakan mereka serta melatih pergerakan dan kawalan yang tepat.
Tuntasnya, initiatif ini mewujudkan penglibatan daripada pelbagai pihak seperti komuniti, universiti, dan industri dalam pembangunan sosial dan jati diri kanak-kanak autisme itu sendiri. – Dr. Siti Noorjannah Abd Halim