Education

Sukarelawan dan NGO berganding bahu dalam Program Plogging @Community

Gambar Abu Bakar Omar Hamdan

KUALA PERLIS: Program Plogging @Community telah berlangsung di sekitar kawasan Ocean Glow, Kuala Perlis anjuran Pejabat Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis melalui Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT) bersama Pusat Pengajian Undang-undang, UUM COLGIS.

Acara ini bertujuan untuk memupuk budaya kebersihan dan kelestarian persekitaran melalui aktiviti gotong-royong yang melibatkan komuniti di seluruh negeri Perlis.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis (Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perlis), Asrul Aimran Abd Jalil hadir untuk menyempurnakan pelepasan bagi aktiviti kutipan sampah dan gotong-royong tersebut.

Dalam ucapannya, beliau menekankan pentingnya kerjasama masyarakat dalam menjaga kebersihan dan keindahan persekitaran serta memberi sokongan kepada inisiatif kelestarian alam.

Acara ini turut disertai oleh pelbagai pegawai dan kakitangan, termasuk Setiausaha Bahagian Pentadbiran Daerah, Mohammad Afifi Othman@Omar dan Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan, Norazah Jaapar dan Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof. Madya Dr. Asmar Abdul Rahim. 

Dr. Asmar berkata, program ini tidak hanya memberi manfaat kepada alam sekitar, tetapi juga memupuk semangat kerjasama dalam kalangan peserta yang datang dari pelbagai lapisan masyarakat.

Menurutnya, melalui aktiviti ini, diharapkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan dan kelestarian alam dapat dipertingkatkan dalam kalangan penduduk negeri Perlis.

Dengan semangat gotong-royong, program ini diakhiri dengan kejayaan kutipan sampah yang signifikan, menunjukkan komitmen masyarakat terhadap persekitaran yang bersih dan sihat. – Shaidah Shaari

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button