General

Pingat Perkhidmatan Setia bukti universiti iktiraf sumbangan warga UUM

Gambar Mohd Fuad Hamid dan Hairul Nizam Zahari

SINTOK: Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Setia (PPS) hari ini membuktikan Universiti Utara Malaysia (UUM) mengiktiraf sumbangan warga kerja yang telah memberikan kesetiaan kepada raja, negara dan universiti.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah bertitah, individu yang dipilih adalah berdasarkan perkhidmatan yang telah mereka berikan dengan penuh dedikasi, komitmen, dan kesetiaan selama lebih daripada 25 tahun.

Titah baginda, kejayaan UUM pada hari ini adalah hasil usaha, pengorbanan dan sumbangan yang tidak ternilai daripada staf yang telah melaluinya selama lebih dua dekad dengan pelbagai cabaran, rintangan dan suka duka, namun berjaya menghadapinya dengan semangat yang kental, kesungguhan dan rasa tanggungjawab yang tinggi.

Baginda bertitah, tempoh 25 tahun bukanlah satu tempoh yang singkat, ia melambangkan kepercayaan, kesetiaan dan rasa cinta yang mendalam kepada UUM, walaupun universiti ini telah melalui peredaran zaman, perubahan teknologi dan pelbagai transformasi pentadbiran, namun nilai-nilai integriti dan profesionalisma sentiasa kekal dan kukuh dalam sanubari diri.

“Beta berbesar hati untuk berkongsi empat nasihat sebagai panduan kepada staf yang ingin memula dan mengakhiri perkhidmatan dengan cemerlang. Pertama, sentiasa berpegang teguh kepada amanah dan integriti; kedua, belajar dan terus belajar; ketiga, menjaga kebajikan dan mengekalkan suasana harmoni dan keempat, menanamkan niat untuk membantu orang yang berada dalam kesusahan.

“Beta ingin sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada penerima Anugerah PPS tahun ini dan mendoakan agar hasrat dan visi UUM untuk menjadi universiti pengurusan yang terkemuka dapat direalisasikan dengan jayanya,” titah Baginda di Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Setia di Dewan Mu’adzam Shah, hari ini.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan menganggap kepakaran yang dimiliki warga UUM merupakan aset yang penting dan berharga.

Menurutnya, pingat ini bertujuan menzahirkan perakuan dan penghargaan pihak universiti kepada mereka yang layak dan telah memberikan jasa bakti yang besar kepada universiti.

Katanya, sesungguhnya semua penerima telah meluruskan niat, pengorbanan dan dedikasi dalam pengabdian tulus dalam menunaikan amanah, tugas dan tanggungjawab demia agama, bangsa dan negara.

Penerima, Baharudin Yaakob menyifatkan penganugerahan tersebut menunjukkan bahawa pihak universiti mengiktiraf sumbangan staf yang telah berkhidmat begitu lama lebih daripada 25 tahun di UUM.

Beliau yang berkhidmat selama 30 tahun di UUM berharap staf UUM yang masih berkhidmat dapat bekerja dengan bersungguh-sungguh dan memberikan komitmen terbaik kepada universiti tercinta ini yang merupakan tempat mencari rezeki.

Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Mufti Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Fadzil Awang dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Mohd Shukor Mahfar.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button