Campus

Pusat Islam berjaya tingkat semangat ilmiah 60 pelajar cemerlang SKIL

Gambar Muhammad Ezz Zikry Ezry

SINTOK: Seramai 60 pelajar menyertai Kem Pentauliahan SKIL@A232 Tahun 2024 yang diadakan di Pusat Islam, Universiti Utara Malaysia (UUM) selama dua hari bermula 11 hingga 12 Oktober lalu.

Pengarah Program, Muhammad Daniel Haikal Wazi berkata, program ini bertujuan untuk melatih dan memperkasa pelajar dalam aspek kepimpinan, kerohanian dan kemahiran insaniah melalui pelbagai aktiviti interaktif.

Menurutnya, antara aktiviti yang dijalankan termasuk Smart Solat, penyembelihan dan penyucian ayam, Malam Kebudayaan Islam, Kursus Jenazah, outdoor games, dan aktiviti memasak selepas Kursus Penyembelihan.

Kem Pentauliahan SKIL@A232 Tahun 2024 merupakan penghargaan kepada semua pelajar SKIL yang berjaya mencapai nilai tertinggi dan menunjukkan komitmen dalam program Sijil Eksekutif Kepimpinan Islam dan Komuniti (SKIL), walaupun menjalani tugas sebagai pelajar sepenuh masa di UUM.

“Kem ini memberi peluang kepada pelajar untuk meningkatkan kemahiran komunikasi dan kepimpinan dalam suasana yang kondusif.

“Selain aktiviti kerohanian, kami juga menekankan aspek kerjasama dan kepimpinan dalam kalangan peserta,” katanya.

Majlis penutupan kem dirasmikan oleh Dekan Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Massudi Mahmuddin yang menyatakan penghargaan kepada semua peserta dan penganjur kem atas komitmen tinggi yang ditunjukkan.

Beliau berkata, program seperti ini amat penting dalam membentuk peribadi dan sahsiah pelajar. Saya berharap kem ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai platform untuk pelajar mendalami ilmu agama serta memperkukuh kemahiran kepimpinan mereka.

Peserta kem, Nurain Salahiah Mohd Rusdi meluahkan rasa gembira dapat menyertai program ini dan diberi peluang untuk belajar mengenai pengurusan jenazah.          

Antara aktiviti kemuncak adalah penyembelihan dan penyucian ayam, di mana peserta dilatih mengenai prosedur yang betul serta kepentingan aspek kebersihan dalam penyembelihan.

Selain itu, peserta juga mendapatkan pendedahan tentang pengurusan jenazah, di mana mereka mempelajari tatacara pengurusan jenazah dalam Islam termasuk proses memandikan, mengkafan, dan menguruskan pengebumian dengan cara yang sesuai.

Kem Pentauliahan SKIL A232 adalah sebahagian daripada usaha Pusat Islam UUM untuk menyediakan platform pembangunan diri dan rohani kepada pelajar selari dengan misi universiti dalam melahirkan graduan holistik yang seimbang dari segi akademik dan sahsiah. – Nurul `Adiela Nasuha Mohd Najib

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button