Campus

Pelajar baharu SOL teruja dalam Slot Kembara Ilmu

Gambar Ahmad Termizi Othman

SINTOK: Pusat Pengajian Undang-Undang (SOL), Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (UUM COLGIS) telah menganjurkan slot Kembara Ilmu di Dewan Kuliah Gugusan (DKG) 5/7, Universiti Utara Malaysia (UUM) bersempena dengan Minggu Suai Kenal (MSK) bagi pelajar baharu semester pertama sesi 2024/2025 (A241).

Slot ini bertujuan untuk memperkenalkan pelajar baharu kepada struktur akademik, persekitaran pengajian, dan budaya di Pusat Pengajian Undang-Undang.

Selain itu, program ini juga berfungsi sebagai platform awal untuk membina hubungan antara pensyarah, pelajar lama dan baharu.

Dekan SOL, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab berkata, program ini penting untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai pelbagai kursus dan kemahiran yang akan dipelajari sepanjang pengajian mereka.

Beliau juga sempat menitipkan beberapa nasihat kepada pelajar baharu agar sentiasa seronok ketika belajar. 

“Keseronokan belajar hanya dapat dirasai apabila kita mempunyai matlamat. Sediakan perancangan untuk menggapai matlamat tersebut.

“Perancangan ini meliputi kaedah yang betul berkaitan membaca, persiapan untuk ke kelas dan sentiasa hadir serta terlibat aktif dalam kelas,” katanya.

Pelbagai aktiviti interaktif turut diadakan sepanjang program, termasuk sesi soal jawab, penerangan mengenai fasiliti pembelajaran, dan tips akademik daripada pensyarah-pensyarah, selain pelajar diberi peluang untuk berkongsi harapan dan aspirasi mereka sepanjang berada di UUM.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Undang-Undang dan Perniagaan, Adam Mukhriz Mohd Maliki berkata, dia rasa teruja dan gembira terpilih untuk menyertai program ini kerana dapat mendalami tiga disiplin ilmu, sekali gus sepanjang tempoh pembelajaran di UUM.

Bagi Ahmad Shahir Noor Sharazain, pelajar Sarjana Muda Undang-Undang pula tidak berasa kekok berada di UUM.

“Saya pernah belajar di Pusat Asasi Pengurusan UUM dan saya sangat mengimpikan untuk belajar undang-undang di sini.

“Seluruh ahli keluarga saya gembira apabila saya ditawarkan dalam program ini.”

Turut hadir ialah pensyarah, Persatuan Mahasiswa Undang-Undang (UUM LAWSOC) dan Persatuan Pelajar BPLB (THINKERS). – Dr. Muhammad Hafiz Badarulzaman

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button