Kaunseling bina ketahanan psikologi dalam kalangan pelajar
Gambar Nurhanisah Zahri
KUALA LUMPUR: Seminar Psikologi Kaunseling IPT Kebangsaan 2024 yang bertujuan meningkatkan kefahaman dan kesedaran terhadap peranan kaunseling dalam menyokong kesejahteraan psikologi masyarakat telah berlangsung di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), baru-baru ini.
Program tersebut dianjurkan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dengan kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Pertahanan Awam Malaysia (UPNM) serta beberapa rakan strategik utama iaitu Hospital Rehabilitasi Cheras, International Khayr Ummah Foundation (IKAF) serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Majlis tersebut dirasmikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman di mana beliau menekankan peranan penting kaunseling di institusi pendidikan tinggi sebagai sokongan utama kepada kesejahteraan mental pelajar.
“Kaunseling bukan sekadar membantu dalam mengatasi tekanan akademik, malah turut membina ketahanan psikologi dalam kalangan pelajar,” katanya yang turut melancarkan Manual Pengurusan Perkhidmatan Kaunseling dan Psikologi Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia dan Hari Kesihatan Mental.
Manual baharu ini dijangka memperkasakan lagi perkhidmatan kaunseling di IPT dan membantu pelajar menghadapi pelbagai cabaran kehidupan kampus dengan lebih baik.
Seminar yang berlangsung selama dua hari ini telah menampilkan pelbagai sesi pembentangan kertas kerja, forum profesional, serta lawatan ke Hospital Rehabilitasi Cheras. Antara tajuk yang dibincangkan termasuklah “Kecelaruan Mental dan Kefungsian Diri Dalam Keluarga, Kerjaya dan Masyarakat” yang disampaikan oleh Pakar Psikiatri dari Hospital Sultanah Bahiyah, Dr. Ahmad Rostam Md Zin serta “Pendekatan CBT dalam Rehabilitasi Psikososial” yang dikupas oleh Prof. Dr. Mohammad Aziz Shah Mohamed Arip dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Sesi selari disampaikan oleh Hairol Kamal dengan tajuk “Rehabilitasi Fizikal dan Komuniti”, manakala Maisarah Mohd Radhuan tentang “Bipolar Disorder” dan Khadijah Nadiah Abd Raman berkaitan autisme.
Sesi forum turut membincangkan isu-isu penting seperti “Resiliensi Psikologi: Kaunseling Sebagai Agen Utama Proses Kesejahteraan Insani” yang dibincangkan oleh Prof Madya Dr. Salleh Amat, Prof Datuk Dr. Mohd Tajudin Md. Ninggal dan Prof. Datuk Dr. Mohamed Fadzil Che Din serta “Buli Siber: Kesan Psikologi, Peranan Komuniti & Intervensi Psikososial Terhadap Mangsa” yang melibatkan tokoh-tokoh akademik dan pakar dalam bidang kaunseling serta psikiatri, seperti Prof. Madya Dr. Ooi Pei Boon, Dato’ Dr. Fathul Bari Mat Jahya dan Dr. Nurul Syuhaida Abd. Razak.
Turut berlangsung pertandingan pembentangan poster sepanjang program diadakan yang mana melibatkan kategori Pembimbing Rakan Siswa Kebangsaan (PRSK), akademik dan universiti awam.
Seminar ini diakhiri dengan Program Psikososial bersama Pesakit di Hospital Rehabilitasi Cheras yang memberi peluang kepada peserta untuk mendekati pesakit dan menyampaikan sumbangan sebagai tanda sokongan.
Seminar ini diharapkan dapat memperkukuhkan peranan kaunseling dalam meningkatkan kesejahteraan psikologi di kalangan pelajar dan masyarakat secara umum, serta memperkukuhkan usaha kerjasama antara institusi pendidikan tinggi di Malaysia.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed. – Nurkhalida Rahmah Saifolrudin Khalid dan Nurfika Yana Ghazali