UUM lonjak 22 anak tangga kepada 79 universiti terbaik Asia
Gambar Jasyla Rifhana Mohamad Radzuan
SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus cemerlang dengan berada pada kedudukan ke-79 tahun ini berbanding ke-101 tahun sebelumnya dalam QS World University Rankings: Asia 2025 yang diumumkan petang 6 November 2024 (waktu tempatan).
Peningkatan sebanyak 22 anak tangga itu didorong peningkatan dalam indikator reputasi akademik yang menunjukkan kepercayaan global terhadap sumbangan UUM dalam bidang akademik, terutamanya penyelidikan berimpak tinggi dan berjaya menghasilkan graduan berkualiti.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, ini adalah pencapaian yang terbaik bagi UUM semenjak disenaraikan dalam QS Asia sejak tahun 2015. Pencapaian cemerlang ini merupakan sumbangan semua warga UUM, khususnya ahli akademik yang begitu komited dalam melaksanakan penyelidikan, pengajaran dan penerbitan bermutu tinggi.
“Bertambah manis pencapaian ini kerana UUM menyambut ulang tahun ke-40 tahun yang menunjukkan universiti semakin matang dan mula menyerlahkan wajah di peringkat antarabangsa dan Asia.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua keluarga besar UUM khususnya pensyarah yang tidak mengenal erti jemu dalam memberi sumbangan kepada dunia penyelidikan dan penerbitan, selain meningkatkan kualiti graduan,” katanya mengulas kedudukan terkini QS World University Rankings: Asia 2025.
Pada 2021, UUM berada pada kedudukan 107, diikuti 2022 pada kedudukan 98, 2023 pada kedudukan 108 dan 2024 pula berada pada kedudukan 101.
QS World University Rankings: Asia 2025 mengguna pakai 11 indikator dalam menilai sesebuah universiti iaitu ‘academic reputation’, ’employer reputation’, ‘faculty students ratio’, ‘staff with PhD’, ‘papers per faculty’, ‘international research network’, ‘citations per paper’, ‘international faculty’, ‘international students’, ‘inbound exchange students’, dan ‘outbound exchange students’.
Pada edisi 2025, sebanyak 984 universiti dengan 142 daripadanya pertama kali disenaraikan dan kali ini, QS menganalisis lebih 1.9 juta respons akademik dan 660,000 respons majikan.
Dr. Mohd Foad berkata, peningkatan dalam ‘citation per paper’ membuktikan hasil penyelidikan daripada UUM semakin mendapat pengiktirafan dan menjadi rujukan dalam kalangan penyelidik di seluruh dunia, terutamanya dalam bidang pengurusan, sekali gus menyokong visi UUM untuk menjadi Universiti Pengurusan Terkemuka.
Menurutnya, dengan pencapaian terbaru ini, UUM membuktikan komitmen berterusan dalam meningkatkan standard akademik dan penyelidikan, seterusnya memperkukuhkan peranannya sebagai salah satu universiti terkemuka di Malaysia dan Asia.
Keputusan penuh QS World University Rankings: Asia 2025 boleh dicapai melalui portal www.topuniversities.com – Nur Liyana Noor Ismadi dan Nordiana Shafiee