General

Kolaborasi UUM, MSNM dan MSNK beri peluang atlet lanjut pengajian

Gambar Shamsaimi Ezil

SINTOK: Dalam usaha meningkatkan dan merancang pembangunan sukan serta atlet termasuk memberi peluang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan Majlis Sukan Negara Malaysia (MSNM) dan Majlis Sukan Negeri Kedah (MSNK) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Balai Tamu, petang tadi.

MoU tersebut ditandatangani oleh UUM diwakili Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan manakala MSNM oleh Ketua Pengarahnya, Abdul Rashid Yaakub dan MSNK oleh Pengarahnya, Zulzuraidy Othman.

Dalam ucapannya, Dr. Mohd Foad Sakdan mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada MSNM dan MSNK kerana menunjukkan komitmen dan kesungguhan untuk membangun dan memperkasakan program kerjasama dalam bidang pembangunan sukan sebagai satu agenda melestarikan sukan di universiti.

Menurutnya, kerjasama strategik antara UUM dengan MSNM dan MSNK itu dapat meningkatkan mutu kecemerlangan sukan di peringkat universiti, negeri dan negara bagi melahirkan “The Thinking Athlete” yang cemerlang dalam bidang sukan dan juga akademik, sekali gus membentuk satu jalinan kerjasama kepakaran atau kelebihan ketiga-tiga pihak bagi menjadikan Malaysia sebagai negara yang maju dalam bidang sukan.

Katanya, UUM amat komited dalam menyokong dan membantu atlet dalam kalangan pelajar kerana mereka merupakan individu berbakat yang telah mengorbankan masa dan jiwa mereka untuk sukan yang diceburi.

“UUM sentiasa berusaha membantu atlet dalam kalangan pelajar ini agar dapat berusaha sama-sama meningkatkan prestasi akademik mereka seiring dengan sukan yang diambil.

“Harapan saya semoga usaha dan kerjasama strategik dan bersepadu antara agensi kerajaan sebegini bukan sahaja akan melonjakkan kecemerlangan sukan IPT tempatan, malahan menjadikan pengisian pengajiannya lebih berkualiti, terus relevan dan memberikan kesan besar kepada semua pihak,” katanya pada majlis menandatangani MoU di antara UUM dengan MSNM dan MSNK di Balai Tamu.

Sementara itu, Abdul Rashid tidak menafikan pihaknya ingin melahirkan ‘thinking athlete’ yang berkemampuan berfikir jauh.

Beliau turut berterima kasih kepada UUM atas inisiatif diambil ini dan berharap ia bukan sahaja dinikmati di Kedah sahaja, tetapi juga negeri Perlis dan Pulau Pinang.

Katanya, sukan dan akademik perlu diseimbangkan untuk masa hadapan atlet yang perlu diutamakan.

“Inisiatif ini sudah lama dilaksanakan di seluruh negara dan kami dalam bidang sukan mahu lahirkan atlet yang bijak dan sangat cemerlang bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi luar negara.

“Kita mahu atlet yang lahir daripada universiti-universiti, jadi kita perlukan kerjasama. Kita sudah wujudkan sekretrariat MACE (Malaysian Athlete Career and Education) yang akan membolehkan atlet negeri melanjutkan pengajian dan meneruskan karier sukan,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; Pengarah Pusat Sukan UUM, Dr. Nasiruddin Haron dan pegawai-pegawai kanan UUM, MSNM dan MSNK.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button