General

GE 95 peratus bukti graduan UUM mampu bersaing dalam dunia pekerjaan

SINTOK, 10 November 2024: Peratus kebolehpasaran graduan (GE) mencecah 95 peratus membuktikan graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) sudah mampu bersaing dalam dunia pekerjaan kini.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, UUM telah mencatatkan rekod kebolehpasaran graduan yang membanggakan dengan kadar 95 peratus pada tahun lalu. 

Menurutnya, ini menunjukkan bahawa graduan UUM tidak hanya memiliki ilmu pengetahuan tetapi juga kebolehan untuk bersaing dalam dunia pekerjaan yang semakin kompetitif.

Malah, katanya, gaji permulaan graduan UUM menunjukkan nilai gaji premium sebanyak 9.2 peratus, membuktikan bahawa graduan UUM dihargai oleh industri.

“Saya juga ingin berkongsi dapatan graduan sarjana muda yang mengisi SKPG atau Sistem Kajian Pengesanan Graduan di mana daripada 6,144 graduan yang mengisi SKPG sehingga 3 November lalu, terdapat 324 graduan sarjana muda menerima gaji premium iaitu sekurang-kurangnya RM4,000 sebulan.

“Ini menunjukkan graduan UUM diterima baik oleh industri, malah kita juga mendapati sembilan graduan berpendapatan lebih sepuluh ribu ringgit sebulan. Syabas dan tahniah,” katanya pada Majlis Konvokesyen Ke-37 UUM di Dewan Mu’adzam Shah, pagi tadi.

Beliau juga turut berkongsi mengenai perkembangan dan pencapaian terbaru UUM, seterusnya mengucapkan tahniah kepada semua graduan dan berharap mereka sentiasa ingat dan membalas budi ibu bapa yang yang berjasa selama ini.

Majlis Konvokesyen UUM kali ke-37 tahun ini meraikan seramai 6,742 graduan yang menerima ijazah masing-masing. 

Daripada jumlah itu, seramai 5,539 adalah terdiri daripada graduan peringkat sarjana muda, manakala seramai 1,126 merupakan graduan pascasiswazah.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button