General

Pelajar perlu kuasai literasi kewangan dan teknologi dalam kehidupan dan perniagaan

Gambar Mohd Fuad Hamid

SINTOK, 11 November 2024: Literasi kewangan dan penguasaan teknologi menjadi dua komponen kritikal yang perlu dimiliki graduan untuk meningkatkan nilai diri dalam pasaran kerja serta memajukan ekonomi negara.

Pengarah Urusan Hotel The Lov Penang, Dato’ Sharifah Shareen Syed Rahman Al-Mashoor yang juga alumni UUM 2002 berkata, dalam dunia yang semakin kompetitif dan kompleks, literasi kewangan merujuk kepada kemampuan memahami dan menggunakan prinsip kewangan dalam kehidupan dan perniagaan.

Menurutnya, dalam era perniagaan yang pesat, pemahaman ini adalah kunci untuk membuat keputusan yang bijak dalam mengurus kewangan peribadi dan perniagaan.

Katanya, program seperti pesta konvokesyen ini adalah langkah penting ke arah menyediakan platform pendidikan yang relevan dan sesuai dengan kehendak masa kini.

“PESKON 37 mengangkat tema ‘Literasi Kewangan dan Teknologi’ sebagai asas peningkatan kebolehpasaran graduan dalam industri.

“Malangnya, tahap literasi kewangan dalam masyarakat kita masih rendah dan ini membawa kesan yang signifikan kepada kestabilan ekonomi secara keseluruhan. Kelemahan dalam pengurusan kewangan bukan sahaja memberi kesan kepada individu, malah turut menjejaskan keseluruhan ekosistem ekonomi,” katanya pada Majlis Perasmian Pesta Konvokesyen Ke-37 di Pentas Utama , Pesta Konvokesyen, malam tadi.

Beliau berkata, dalam menghadapi cabaran ini, teknologi muncul sebagai satu alat yang sangat berpotensi. Dengan kemajuan teknologi digital, masyarakat kini mempunyai akses yang lebih luas kepada maklumat kewangan serta sumber pendidikan dalam talian.

Menurutnya, adalah penting bagi masyarakat untuk menggalakkan pendidikan kewangan dari peringkat awal. Ini adalah satu pelaburan jangka panjang untuk ekonomi dan kesejahteraan masyarakat dalam menghadapi dunia kewangan dan perniagaan yang semakin rumit.

Katanya, di era digital ini ancaman siber seperti penipuan dalam talian dan ketidakpastian ekonomi global menjadi isu yang perlu dihadapi dengan bijak. Graduan perlu dididik tentang cara untuk melindungi diri daripada risiko ini serta memastikan amalan kewangan yang selamat dan beretika.

“Kita seharusnya mengambil langkah proaktif dalam meningkatkan literasi kewangan serta menguasai teknologi dengan penuh tanggungjawab.

“Mari kita sokong inisiatif yang mempromosikan pendidikan kewangan, keusahawanan, dan penggunaan teknologi secara beretika,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, tema perasmian PESKON kali ini adalah Literasi Kewangan dan Teknologi amat bertepatan dengan keadaan dunia semasa.

Menurutnya, dalam dunia yang semakin digital, kemahiran pengurusan kewangan dan penggunaan teknologi menjadi asas kepada kehidupan yang lebih teratur, produktif, dan berjaya.

Katanya, dengan pelbagai produk kewangan dan teknologi yang semakin berkembang, masyarakat perlu dilengkapkan dengan pengetahuan untuk membuat keputusan yang bijak dan bertanggungjawab.

“UUM berbangga kerana dapat memainkan peranan penting dalam memperkasa graduan dengan kemahiran ini.

“Program-program akademik dan latihan praktikal yang ditawarkan di universiti ini adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk memajukan teknologi kewangan (fintech), memastikan para graduan UUM menjadi agen perubahan dalam masyarakat dan industri,” katanya.

Beliau berkata, graduan yang memiliki pengetahuan kewangan yang kukuh dan celik teknologi bukan sahaja boleh mengurus kehidupan mereka sendiri dengan lebih baik, tetapi juga dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan negara melalui inovasi dan kepemimpinan yang dibawa.

Beliau berharap agar Pesta Konvokesyen kali ke-37 ini dapat menjadi ruang untuk semua berkongsi ilmu, pengalaman, dan inspirasi serta terus merangsang minda untuk melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan dalam menghadapi cabaran dunia moden.

Turut diadakan pelancaran Box of Idea dan penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan KABADDI, bantuan komputer riba serta penyampaian cenderamata rakan kolaborasi, selain majlis dimeriahkan dengan kehadiran penyanyi, Ameng Spring.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Marthada Mohamed; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail dan Pengarah PESKON37, Muhammad Hafizzudin Zolkifely.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button