General

SISPRO 2024 upaya tingkat kebolehpasaran mahasiswa asnaf

Berita dan gambar Noor Athilah Rashid (Pelajar Praktikum Pusat Islam)

KUALA PERLIS, 12 November 2024: Seramai 30 pelajar asnaf Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai Kem Pembangunan Profesionalisme Asnaf Siswa (SISPRO 2024) anjuran Pusat Islam di Hotel Putra Brasmana pada 4 hingga 6 November 2024.

Penyelaras program, Madihah Mohamed Ibrahim berkata, program ini bertujuan bagi meningkatkan potensi dan profesionalisme diri agar pelajar asnaf dapat berada ‘at par‘ dengan pelajar lain, sekali gus berupaya meningkatkan kebolehpasaran diri dan mengubah nasib keluarga di masa hadapan.

Menurutnya, program ini dapat memupuk pembudayaan keusahawanan dalam kalangan pelajar universiti khasnya pelajar golongan asnaf ke arah memperkasakan ekonomi keluarga.

Katanya, pelajar juga dibekalkan dengan ilmu agama agar menjadi insan yang berakhlak tinggi yang dapat mengimbangi antara duniawi dan akhirat seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana kata-kata hikmah “jika tiada bahu untuk bersandar, masih ada lantai untuk bersujud”.

Di antara objektif penting diadakan program ini adalah bagi mengenal pasti potensi pelajar asnaf yang produktif supaya dapat mengubah nasib diri kepada yang lebih baik selain memupuk nilai pembangunan kendiri dan mandiri dalam jiwa pelajar asnaf agar sentiasa boleh bersaing dalam dunia yang mencabar.

Pelbagai aktiviti telah diadakan, di antaranya adalah solat tahajud dan fardhu berjemaah, tazkirah subuh dan maghrib, aktiviti kecerdasan tubuh, sesi ceramah daripada individu-individu berjaya seperi wakil daripada Syarikat Al Ikhsan Sports Sdn Bhd, sesi ceramah pembudayaan keusahawan pelajar oleh Penyelaras Keusahawanan, Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa, Syahrina Abdullah dan sesi perkongsian daripada pelajar senior, Farah Jazlina Mohd Haider yang juga Pengurus Campus Brew UUM serta aktiviti lawatan ke Kampong Warna Warni, Kuala Perlis.

Peserta, Far’azlin Fidaan Fazlisham berkata, kem ini merupakan pengalaman pertamanya menyertai program berbentuk gabungan kepimpinan dan keusahawanan yang menekankan nilai-nilai kerohanian yang tinggi serta memantapkan ukhuwwah sesama pelajar.

Manakala rakannya, Siti Raihan I. Salim berkata, program seperti ini selain dapat menimba ilmu mereka juga dapat merasakan pengalaman menginap di hotel yang jarang-jarang sekali mereka dapat merasa selain dapat meredakan bebanan belajar buat seketika.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button