General

Kembar tidak pernah berpisah, cemerlang genggam ijazah Sarjana Muda Perakaunan

Gambar Mohd Fuad Hamid

SINTOK, 13 November 2024: Majlis Konvokesyen Ke-37 Universiti Utara Malaysia (UUM) menyaksikan pasangan kembar dari Ipoh, Perak naik ke pentas bersejarah Dewan Mu’adzam Shah bagi sesi kelima, semalam.

Graduan Sarjana Muda Perakaunan, Nur Hakimah Khairuddin (kakak) dan Nur Hafizah Khairuddin (adik) sejak kecil lagi tidak pernah dipisahkan sehingga menjejakkan kaki ke universiti.

Hafizah berkata, dia dan kakaknya belajar di tempat sama sehingga berusia 24 tahun bermula dari tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, kemudian sama-sama memasuki Pusat Asasi Pengurusan UUM dan bergraduat dari Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA).

Menurutnya, dari aspek pernah berpisah, mereka hanya terpisah kelas semasa sekolah rendah dan juga beberapa kumpulan kuliah di peringkat ijazah sarjana muda, malah juga pernah terpisah bilik di Inapan Siswa yang sama untuk satu semester dan selepas itu mereka berdua mendapat bilik yang sama.

Katanya, walaupun mereka merupakan sepasang kembar, namun mereka adalah dua individu yang berbeza yang mempunyai kemahiran dan minat yang berlainan.

“Bagi kami, tidak pernah timbul rasa cemburu sesama sendiri, sebaliknya daripada berasa cemburu, personaliti dan kemahiran kami yang berlainan telah membuatkan kami saling melengkapi antara satu sama lain sepanjang perjalanan kami menuntut ilmu.

“Saya meminati pelajaran berkaitan pengiraan, manakala Hakimah seorang yang meminati pelajaran berkaitan teori. Oleh itu, kami banyak membantu antara satu sama lain untuk belajar. Saya juga percaya bahawa setiap orang mempunyai rezeki masing-masing. Jadi, perasaan “kembar saya melebihi dari diri sendiri” tidak pernah wujud dalam hati kami,” katanya.

Hafizah berkata, dia berterima kasih terutamanya kepada kedua ibu bapa yang telah banyak berkorban dalam membesarkan mereka, selain itu terima kasih juga kepada adik-beradik dan sanak-saudara yang selalu mendoakan kejayaan mereka.

Menurutnya, mereka juga ingin meengucapkan terima kasih kepada sahabat yang memberi inspirasi dan semangat untuk sentiasa berusaha mencapai kejayaan. Tidak lupa juga kepada ke semua pensyarah UUM yang telah mengajar sejak peringkat asasi sehingga ke peringkat ijazah sarjana muda.

Sementara itu, Hakimah berkata, mereka tidak pasti yang mana merupakan rahsia kejayaan mereka berdua lakukan sepanjang menuntut ilmu. Pelbagai cara yang diamalkan antaranya ialah sentiasa menumpukan perhatian dalam kelas, ⁠bertanya kepada pensyarah sekiranya tidak memahami sesuatu topik dan juga mengenai tugasan dan cari kumpulan kawan yang positif.

Selain itu, menurutnya, mereka juga ⁠sentiasa memberikan yang terbaik dalam tugasan individu dan menjadi ahli kumpulan yang aktif serta menyumbang kepada tugasan berkumpulan.

Katanya, apa yang penting sekali ialah sentiasa meminta restu ibu bapa setiap kali menduduki peperiksaan kerana mereka percaya bahawa setiap kejayaan adalah berkat doa dari ibu bapa serta ahli keluarga. Akhir sekali, mereka ber⁠usaha dan tawakal. Sentiasa melakukan yang terbaik dan berserah segalanya kepada Allah SWT.

“Bagi Anugerah Kecemerlangan Yayasan Muhibbah Tan Seri Fng Ah Seng, selain daripada menumpukan prestasi akademik, saya juga melibatkan diri secara aktif sebagai ahli jawatankuasa NOVAC. Saya juga merupakan salah seorang ahli Beta Gamma Sigma Chapter UUM Kohort 5.

“Saya juga pernah menjadi fasilitator dalam program ONTAP anjuran TISSA-UUM sebagai tutor kepada pelajar Tingkatan 5 bagi mata pelajaran Prinsip Perakaunan. Saya bersama rakan-rakan juga pernah mewakili UUM dalam Business Case Challenge MICPA Accountancy Week 2021 dan meraih tempat ketiga. Saya percaya bahawa kita perlu menyertai pelbagai program untuk mendapat keseimbangan dari segi akademik dan segi kurikulum tambahan,” kata anak kedua dari empat beradik itu.

Hakimah yang kini bekerja sebagai Eksekutif Perakaunan dan Percukaian, manakala Hafizah bekerja sebagai Audit Associate merancang untuk mengumpul pengalaman bekerja untuk mengembangkan kerjaya.

Pada masa sama, Hakimah kini sedang mengambil Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) separuh masa di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan masih berharap agar dapat mencapai impian masa kecil untuk menjadi guru pada masa hadapan sekiranya saya ingin beralih dari bidang kerjaya perakaunan.

Hafizah juga kini turut menyambung pelajaran dengan mengambil Sijil Profesional ACCA di Sunway College Ipoh di bawah tajaan Yayasan Peneraju.

Kejayaan mereka berdua turut dikongsikan bersama Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan dan tiga Timbalan Naib Canselor.

Tahniah anak kebanggaan ibu, Suraya Abdul Rahim dan bapa, Khairuddin Janan.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button