Adik-beradik teruja dapat graduat bersama
SINTOK, 13 November 2024: Musim konvokesyen tahun ini menyaksikan pelbagai cerita menarik graduan yang bukan sahaja menyentuh perasaan tetapi menimbulkan rasa bangga kepada mereka yang mengikuti perkembangan istiadat itu setiap tahun.
Baru-baru ini, dua beradik berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama di Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) ke-37 bagi sesi ketiga.
Menariknya Mohammad Qoiri Mulkam, 25, dan adiknya, Siti Qolijah, 24, berjaya menamatkan bidang pengajian dari pusat pengajian yang sama iaitu Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP).
Mohammad Qoiri merupakan graduan Pengurusan Kerja Sosial dan penerima Anugerah Kecemerlangan Yayasan Kebajikan Negara (YKN), manakala Siti Qolijah merupakan graduan Sarjana Muda Kaunseling.
Mohammad Qoiri berkata, kejayaan yang dikecapi bersama adiknya itu adalah hasil dorongan kedua ibu bapa yang sentiasa menyokong mereka untuk melanjutkan pengajian.
“Saya kini bertugas sebagai pengurus di salah satu cawangan 99 Speedmart, iaitu rangkaian kedai serbaneka Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Siti Qolijah berkata, dia kini dalam persediaan untuk menjadi kaunselor profesional dalam bidang kaunseling perkahwinan dan keluarga.
“Saya juga merancang melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah pada masa akan datang,” katanya.
Ibu bapa mereka iaitu Mahani Mamat dan Mulkam Harun turut menghadiri majlis konvokesyen tersebut. – Omar Ibrahim