General

Dari Sabah graduan PACE terbang ke UUM untuk bergraduasi

Gambar Ihsan Simanis Unding

SINTOK, 18 November 2024: Keterujaan memuncak apabila graduan dari Pusat Pendidikan dan Profesional Lanjutan (PACE) menerima surat daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) yang menyatakan Simanis Unding, 45, layak untuk bergraduasi pada Majlis Konvokesyen Ke-37 tahun ini.

“Alhamdulillah, jauh perjalanan dari Kota Kinabalu, Sabah ke Sintok, Kedah demi segulung ijazah ini,” kata graduan sesi kesembilan, petang Khamis lalu.

Menurutnya, dia memang sudah lama berniat untuk melanjutkan pengajian ke peringat sarjana muda meskipun menyedari halangan dan cabaran yang bakal dilalui, namun dia anggap ia bukanlah satu isu besar.

Pada 2019, dia meneruskan niatnya itu dan mula menghubungi UUM untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut lagi daripada pegawai UUM ketika itu yang cukup menjadi ‘keynote’ kepadanya untuk meneruskan permohonan bagi kemasukan pada tahun berkenaan.

Simanis berkata, sebelum memilih UUM, dia telah menghantar permohonan di tiga universiti tempatan, namun UUM bertindak lebih cepat dan memberi maklum balas segera yang diinginkan untuk dia melanjutkan pengajian.

Menurutnya, akhirnya dia diterima masuk dan menjadi pelajar bagi program Sarjana Muda Pengurusan Awam.

“Alhamdulillah, saya teruskan perjuangan meskipun banyak halangan dan cabaran dilalui sama seperti pelajar lain, namun ia hanya kadar minimal bagi saya semua itu.

“Setiap cabaran pasti ada kenangan suka, antaranya saya berpeluang bertemu rakan baru dan pensyarah sebagai ikon yang hebat, secara langsung dapat mewujudkan komunikasi yang pelbagai terutama dalam tugasan yang dipertanggungjawabkan, juga mendidik pemikiran saya ke arah inovasi, holistik dan dinamik,” katanya.

Berpegang teguh pada pepatah “Tuntutlah ilmu dari buaian sampai ke liang lahad”, Simanis berkata, sebagai pelajar amatlah dituntut untuk menimba ilmu sepanjang hayat walaupun usia tidak semakin muda.

Simanis yang bekerja dalam bidang kewangan dan sumber manusia di syarikat swasta berhasrat untuk mengambil program pengurusan awam kerana ia merangkumi banyak aspek dalam pengurusan.

Menurutnya, dengan segulung ijazah yang digenggam, perjalanan sebagai graduan menjadikan kepuasan yang tidak akan terhenti di sini, malah berhasrat untuk mengambil Doktor Falsafah selepas ini.

“Terima kasih UUM kerana memberi saya peluang menjadi seorang graduan dan alumni UUM,” kata ibu kepada dua anak berusia 14 dan 16 tahun.

Simanis yang ditemani adik ipar, Dr Sharina Liza Dr Salisi kerana suami perlu menemani anak-anak yang menduduki peperiksaan akhir tahun, menerima ijazah sarjana muda yang disampaikan Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan bersama 711 graduan.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button