General

500 pelajar libatkan diri dalam UUM Mini Career Day 2024

Gambar PPKKG UUM

SINTOK, 18 November 2024: Sempena Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) ke-37, Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) telah menganjurkan UUM Mini Career Day 2024 pada 11 November lalu di Ruang Legar, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), UUM.

Pengarah PPKKG, Dr. Fikriyah Abdullah berkata, program ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai peluang kerjaya yang terdapat di pasaran, di samping membuat persiapan awal sebelum menempuh alam pekerjaan.

Menurutnya, program ini secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada pelajar dapat mendengar sendiri perkongsian dan maklum balas dari perspektif majikan mengenai keperluan industri pada masa ini.

Antara objektif lain program ini ialah dapat mendekatkan pihak industri dengan warga kampus UUM melalui maklumat yang disalurkan dalam setiap sesi yang dijalankan. Selain itu, ia dapat memberi peluang kepada UUM untuk bekerjasama dengan syarikat yang dapat menawarkan gaji premium.

Hampir 500 pelajar UUM telah melibatkan diri dalam program ini dan turut mendapat penyertaan daripada 19 syarikat antaranya Boostorder, Zurich Takaful Malaysia Berhad (ZTMB), 99 Speedmart Sdn. Bhd., Merdeka Centre, AIA Public Takaful, Boost Holdings Sdn. Bhd, Rockwills Corporation Sdn. Bhd, GRADUAN serta beberapa syarikat yang lain. Turut terlibat, pameran kereta seperti Lee Motors Sdn. Bhd (Honda), CS Prima Auto dan Chye Seng Automotive Group.

Selain daripada pameran kerjaya, sesi perkongsian kerjaya serta semakan resume oleh Eksekutif PR & Events GRADUAN, Najihah Mohd Nazir  turut diadakan di Auditorium 1, PSB UUM. PPKKG turut menjemput Ketua Pengurus Agensi ZTMB, Shah Rizal Azmi untuk sesi perkongsian mengenai peluang kerjaya di ZTMB yang menawarkan gaji premium RM4,000 ke atas selepas menamatkan pengajian.

Sesi penyampaian sijil dan cenderamata kepada syarikat yang terlibat telah disampaikan oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP). Muhammad Iskandar Zulkarnain Muhammad Suhaimi,  diiringi oleh Ketua Penolong Pendaftar, Salehuddin Salim dan Pengarah Program, Nur Farah Johari.

Para pelajar teruja kerana program ini bukan sahaja dapat memberi pendedahan kepada mereka tentang peluang kerjaya yang ada malah PPKKG turut mengadakan sesi cabutan bertuah berupa hamper. – Anis Zulaikha Kamal

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button