CEDI dan Pusat Islam UUM raih Geran Keusahawanan Sosial RM35,000
Berita dan gambar Zulzuliana Zualkifli
LUMUT, 25 November 2024: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui kerjasama erat antara Institut Pembangunan Keusahawanan & Koperasi (CEDI) dan Pusat Islam berjaya memperoleh geran keusahawanan sosial bernilai RM35,000 dalam Majlis Peluncuran Inisiatif Siswa Aspirasi Rakyat (SASAR) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Program tersebut dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir.
Projek keusahawanan sosial yang diketengahkan oleh UUM, ‘Nuran Wellness Incubator Hub’ dirangka berdasarkan prinsip RICES (Research, Innovation, Commercialization, Entrepreneurship, dan Society) dan mengaplikasikan pendekatan ‘quintuple helix’.
Inisiatif ini menggabungkan usaha universiti, komuniti, industri, kerajaan dan alam sekitar untuk mencapai impak sosial yang mampan.
Pengarah Eksekutif CEDI, Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd Khan berkata, projek ini mencerminkan keperluan sinergi yang kukuh dalam membangunkan ekosistem keusahawanan sosial.
“Melalui kolaborasi strategik antara institusi dan komuniti, kita bukan sahaja memacu inovasi sosial, tetapi juga meningkatkan kesejahteraan ekonomi dan sosial masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Islam UUM, Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie menyuarakan rasa syukur atas kejayaan ini.
Menurutnya, projek ini adalah hasil usaha kolektif yang menghidupkan semula peranan masjid sebagai hab komuniti dan keusahawanan.
Katanya, kerjasama strategik ini membuktikan bahawa sinergi antara pelbagai pihak mampu merealisasikan visi untuk memperkasakan masjid sebagai pusat transformasi komuniti.
“Idea untuk melaksanakan projek ini bermula sebagai konsep asas, dan dengan sokongan rakan-rakan di CEDI, ia kini direalisasikan menjadi inisiatif yang bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar tetapi juga komuniti setempat,” katanya.
Dr. Mohamad Khadafi turut bertindak sebagai mentor pertama projek, manakala Penyelaras Keusahawanan Sosial CEDI, Fatin Athirah Fadzillah merupakan mentor kedua yang memainkan peranan penting dalam membimbing pelaksanaan projek ini.
Majlis ini turut disertai oleh dua wakil pelajar UUM, Nur Wahidah Ahmad Hilmi (Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hospitaliti) dan Nur Aliyah Nurul ‘Akla (Ijazah Sarjana Muda Linguistik Gunaan dan Pentadbiran Perniagaan).
Projek ini diharap dapat menjadi model keusahawanan sosial yang memperkasakan pelajar dan komuniti melalui inovasi dan kolaborasi strategik. Dengan sokongan berterusan di bawah kerangka RICES, UUM terus komited dalam memperkasa agenda pembangunan sosial dan ekonomi yang mampan.