UUMKL Open Day promosi program akademik kepada penduduk Lembah Klang
Gambar Mohd Fuad Hamid dan Muhammad Rashid Khair
KUALA LUMPUR, 4 Disember 2024: UUM Kampus Kuala Lumpur (UUMKL) telah menganjurkan program ‘Open Day’ pada Ahad lalu bagi mempromosikan program akademik kepada masyarakat sekitar Lembah Klang, khususnya.
Program julung kali diadakan itu bersempena sambutan ulang tahun pengasasan UUM ke-40 tahun dan mendapat kerjasama Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE) serta Pusat Zakat dan Wakaf UUM (PZW).
Program ini telah dirasmikan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan yang turut meluangkan masa melawat reruai pameran serta jualan dan beramah mesra dengan pelajar selepas sesi perasmian.
“Sesebuah universiti bukan sekadar menyampaikan idealisma sahaja, tetapi perlu mengambil kira dorongan yang berteraskan kombinasi faktor kerjasama antara universiti – industri dan masyarakat.
“Melalui kepakaran yang ada, rangkaian penyelidikan dan inovasi ini akan lebih banyak membuka peluang berterusan mengukuhkan lagi kedudukan UUM sebagai sebuah universiti yang unggul di peringkat global,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kampus UUMKL, Prof. Dr. Norlena Hasnan berkata, Hari Terbuka UUMKL ini berjaya menarik ratusan pengunjung dan merupakan kesempatan terbaik UUMKL untuk mendekati belia, memperkenalkan program-program akademik pelbagai bidang, termasuk kursus kemahiran lain seperti Bahasa Inggeris dan Pengurusan Kewangan.
Menurutnya, UUMKL yang kini mempunyai kira-kira 800 pelajar pascasiswazah amat teruja dan mengalu-alukan sokongan komuniti setempat dan ternyata program hari ini adalah sebagai tanda keterbukaan universiti untuk bersama rakan industri dan masyarakat agar sama-sama bekerjasama dalam pembangunan akademik negara.
Antara pengisian program ini adalah penyerahan cek cura zakat untuk kegunaan pelajar UUM bernilai RM775,000 dari pelbagai agensi, program derma darah dengan kerjasama Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR), sesi permainan tradisional, jualan makanan, jualan buku keluaran UUM Press serta perkhidmatan kaunter SPR.
Turut hadir, Pengarah UUM PACE, Pengarah Pusat Zakat dan Wakaf UUM (PZW), Dekan Akademik UUMKL, Ketua Jabatan UUM serta pensyarah UUM. – Nur Afiqah Abu Bakar