General

UUM-UniMAP bergabung bersihkan sekolah di Jitra dilanda banjir

Gambar Muhammad Shamsul Shafie
JITRA, 4 Disember 2024: Program Skuad Ihsan MADANI Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) anjuran bersama Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bersama-sama membersihkan Sekolah Kebangsaan Seri Banai yang teruk dilanda banjir.
Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan menunjukkan sokongan penuh terhadap usaha murni ini turut bersama-sama bergotong-royong membersihkan sekolah berkenaan.

Program yang bermula seawal jam 8.00 pagi itu menyaksikan peserta dari UniMAP dan UUM berkumpul di Kolej Kediaman Tuanku Tengku Fauziah (KKTTF), UniMAP dan Kampus UUM sebelum bertolak ke destinasi utama iaitu Sekolah Kebangsaan Banai, Kampung Kepala Batu.

Setibanya di lokasi, taklimat serta pembahagian kumpulan dilakukan dengan gabungan tenaga dari kedua-dua universiti.

Misi membersihkan persekitaran sekolah dimulakan pada jam 9.15 pagi melibatkan pelbagai aktiviti kebersihan dan penyusunan semula kawasan sekolah.

Beliau bersama lebih 200 pelajar UUM dan UniMAP bergotong-royong membantu membersihkan sekolah dan banjir ini turut menyebabkan sebahagian Al-Quran ditenggelami banjir.

Program diteruskan dengan misi pencucian di dua lokasi berbeza di mana Team A meneruskan aktiviti di Sekolah Kebangsaan Banai, manakala Team B bergerak ke Sekolah Kebangsaan Kepala Batas, Jitra.

“Program seperti ini bukan sahaja menyemai nilai murni dalam diri pelajar, tetapi juga mengukuhkan hubungan universiti dengan komuniti setempat.

“Misi Skuad Ihsan Madani UUM-UniMAP ini sedikit sebanyak akan membantu memulihkan kembali sekolah ini untuk digunakan para pelajar,” katanya.

Semangat kerjasama antara UUM dan UniMAP dalam menjayakan program ini mendapat pujian ramai, mencerminkan semangat MADANI yang ingin diterapkan oleh KPT.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button