General

Wacana Kertas Putih inisiatif tingkat kesedaran keselamatan negara

Gambar Mohd Fuad Hamid

SINTOK, 6 Januari 2025: Hari ini ancaman kepada keselamatan negara tidak lagi terhad kepada konflik bersenjata, malah melibatkan kebangkitan ancaman bukan tradisional seperti serangan siber, penyebaran maklumat palsu, ancaman biologi dan cabaran perubahan iklim.

Bagaimanapun, pernahkah kita mengetahui tentang Kertas Putih yang dibentangkan di Parlimen pada 2019 bagi memastikan Malaysia yang selamat, berdaulat dan makmur?

Bagi mendedahkan kepada warga UUM khususnya pelajar, Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS) telah menganjurkan Wacana Akademik SOIS dan MINDEF di Auditorium SOIS, pagi tadi yang disempurnakan oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan.

Dr. Mohd Foad berkata, kolaborasi UUM dengan MINDEF melalui program sebegini adalah merupakan inisiatif untuk meningkatkan kesedaran tentang keselamatan negara.

Menurutnya, semua pihak perlu memahami bahawa pertahanan negara bukan tanggungjawab individu atau institusi semata-mata tetapi ianya adalah tanggungjawab kolektif.

Katanya, sebagai sebuah universiti, tanggungjawab UUM bukan hanya untuk memberikan ilmu teori tetapi juga untuk menyediakan pengalaman dunia sebenar kepada pelajar.

“Program seperti ini adalah peluang keemasan untuk pelajar-pelajar kita mendengar terus daripada pakar bidang dan pengamal industri. Saya percaya bahawa mendengar syarahan mengenai Kertas Putih Pertahanan akan membuka minda kita yang bukan sekadar dokumen polisi tetapi merupakan asas kepada strategi negara.

“Ini juga peluang untuk memahami keperluan sebenar industri pertahanan. Hal ini penting bagi memastikan pengisian pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan yang dijalankan di UUM terus relevan dan memberi impak yang tinggi kepada pembangunan negara kita,” katanya.

Slot pertama dimulakan dengan Ceramah Perspektif Strategik: Peranan Kertas Putih Pertahanan dalam Membentuk Masa Depan oleh Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Dasar Dan Perancangan Strategik, Kementerian Pertahanan Malaysia, Sahipulhijaiman Sulaiman.

Sahipulhijaiman berkata, Kertas Putih dibentangkan di Parlimen apabila ada sesuatu isu berbangkit antaranya seperti isu ketidaktentuan hubungan kuasa-kuasa besar, isu Laut China Selatan, pertikaian wilayah, kejiranan Asia Tenggara yang kompleks, kuasa limpahan seperti konflik dalaman negara jiran dan pencerobohan Lahad Datu.

Selain itu, menurutnya, ancaman keselamatan tradisional, serangan siber, rompakan di laut/pelanunan, keganasan merentasi sempadan dan bencana alam juga antara isu dan cabaran yang negara berdepan setiap masa.

Beliau juga berkongsi antara prinsip yang dipegang MINDEF iaitu keneutralan aktivis, aspirasi keupayaan berdikari, inovasi dan integriti, tadbir urus terbaik, selain tiga strategi cegah rintang berpadu, pertahanan komprehensif dan perkongsian berwibawa.

Slot kedua menampilkan tiga panel yang akan membincangkan tentang Kerjaya Menjadi Seorang PTD oleh Sahipulhijaiman Sulaiman, Kamarul Hafidzan Kamaruddin dan Natasya Afriena Syeif Azizirrahim.

Hadir sama, Dekan SOIS, Prof. Madya Dr. Nazariah Osman dan pegawai-pegawai kanan universiti.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button