Aris Burger buka peluang berniaga kepada pelajar UUM
Gambar Hairul Nizam Zahari
SINTOK, 8 Januari 2025: Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan menerima kunjungan daripada Pengerusi Eksekutif Aris Prob Capital Berhad, Dato’ Haris Embong di Bilik Mesyuarat Naib Canselor, pagi tadi.
Kunjungan tersebut bertujuan bagi memaklumkan tentang kerjasama khusus dalam bidang perniagaan kepada pelajar UUM melalui Program Pembangunan Usahawan Aris Burger.
Dr. Mohd Foad berkata, beliau menyambut baik hasrat Aris Prob yang ingin bekerjasama dengan UUM dan pelajar terutama membuka peluang perniagaan dan pekerjaan.
Menurutnya, dengan peluang tersebut diharapkan pelajar UUM khususnya dari golongan B40 akan fokus untuk berdikari yang tidak bergantung sepenuhnya pada sektor kerajaan selepas tamat pengajian.
Sementara itu, Haris berkata, Program Pembangunan Usahawan Aris Burger merupakan satu program yang direka khas bagi melahirkan usahawan bimbingan yang berdaya saing dan berdaya maju dalam perniagaan mereka.
Menurutnya, program komprehensif ini memberi fokus kepada usahawan yang terpilih di mana mereka akan diberi bimbingan dan latihan secara teori dan praktikal demi memastikan usahawan Arisprop berpengetahuan dan berkemahiran dalam mengendalikan perniagaan mereka.
Katanya, pihaknya telah bersedia untuk membekalkan 16 gerai burger dengan kos sekitar RM150,000 hingga RM200,000 dan sebagai tambahan bagi membantu peserta yang terpilih, pihak syarikat akan menyediakan “Working Capital” berjumlah RM1,000 bagi setiap gerai.
“Selain itu, saya sebagai ahli Persatuan Penerbit Malaysia dan penerbit filem juga telah berkolaborasi dengan UUM menjalankan penggambaran filem di UUM.
“Peluang ini secara tidak langsung akan membantu pelajar UUM yang direkrut sebagai pelakon tambahan mahupun bekerja di belakang tabir,” katanya.
Hadir sama, Dekan SCIMPA, Prof. Madya Dr. Adzrool Idzwan Ismail; Pengarah PPKS, Fadzil Mohd Husin dan COO Aris Prob Capital Berhad, Faizal Najib Abdullah.