Program Aspirasi Minda Keusahawanan tingkat kesedaran dalam bidang francais
SINTOK, 8 Januari 2025: Program Aspirasi Minda Keusahawanan Siswa Siri 4: Bersama Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) dan Alumni UUM telah menarik minat kira-kira seramai 250 pelajar dari pelbagai bidang pengajian pada 31 Disember lalu yang diadakan di Dewan Kuliah Gugusan 2/1.
Program anjuran Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS), UUM merupakan program kerjasama dengan PERNAS dan alumni yang menjalankan perniagaan SECRET RECIPE.
Penceramah jemputan, Mohd Fuad Halim yang merupakan Penyelaras Program Kanan, Institut PERNAS dan Mohd Shazrizal Mohd Zaini telah dijemput sebagai panel forum bersama moderator, Syahrina Abdullah.
Forum yang dianjurkan ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan dalam bidang francais kepada 250 mahasiswa yang hadir.
Program ini dihadiri oleh pelbagai pemegang taruh termasuk pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pensyarah, usahawan, pelajar dari pelbagai bidang pengajian, serta alumni UUM.
Forum dimulakan dengan sesi pembentangan oleh Mohd Fuad Halim, tenaga pakar dalam bidang francais yang berkongsi program yang dianjurkan oleh PERNAS, pengalaman dan strategi berkesan untuk berjaya dalam industri perniagaan francais.
Sementara Pengurus Secrert Recipe Sdn. Bhd. Hutan Kampung, Mohd Aizal Shazrizal Mohd Zaini yang juga wakil Alumni UUM telah berkongsi kejayaan memulakan perniagaan sehingga berjaya menubuhkan perniagaan Secret Recipe.
Peserta turut berpeluang mengajukan soalan dan mendapatkan nasihat langsung tentang kaedah memulakan perniagaan serta cabaran yang dihadapi dalam perniagaan francais.
Kehadiran pihak PERNAS dan alumni UUM yang berpengalaman dalam bidang ini menambah nilai kepada perbincangan, memberikan pandangan praktikal dan realiti dunia perniagaan francais. Melalui perkongsian ini, PERNAS dan alumni UUM berharap dapat menyemarakkan lagi minat dan pengetahuan di kalangan peserta, khususnya generasi muda dalam kalangan mahasiswa untuk memulakan perniagaan berkonsepkan francais.
Penganjuran forum ini merupakan sebahagian daripada usaha UUM, PERNAS dan wakil alumni untuk membina ekosistem francais yang lebih kukuh di Malaysia, memandangkan potensi pertumbuhan industri francais yang signifikan di negara ini.
Acara diakhiri dengan sesi taklimat daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) iaitu Muhyidin Ahmad Zainuddin.
Dalam taklimat ini beliau telah menerangkan kepada pelajar tentang tatacara untuk mendaftar perniagaan baru dengan SSM, bayaran yang dikenakan, dokumen-dokumen yang diperlukan, jenis-jenis perniagaan yang boleh dijalankan dan kaedah-kaedah untuk mendaftar perniagaan secara atas talian.
Program aspirasi minda keusahawanan secara siri 4 ini amat akan diteruskan lagi pada masa akan datang selain daripada mendapat ilmu berkenaan aktiviti-aktiviti keushawanan pelajar-pelajar juga dapat membina jaringan perniagaan, di mana peserta dapat berhubung dan membina rangkaian dengan pemimpin industri iaitu PERNAS dan khidmat nasihat daripada pihak PERNAS dan usahawan alumni.
Dengan inisiatif seperti ini, PERNAS terus berkomitmen untuk memajukan bidang francais di UUM khususnya dan Malaysia amnya. – Khairul Anuar Adnan.