General

PEKERTI 2.0 kukuhkan hubungan komuniti melalui kerjasama dan kebajikan

Gambar EXCO Media dan Komunikasi Persatuan Pelajar Asasi Pengurusan Sesi 2024/2025

CHANGLUN, 13 Januari 2025: Pusat Asasi Pengurusan (PAP) telah menganjurkan Program Penggerak Kerjasama Komuniti (PEKERTI 2.0) bersama penduduk Felda Laka Selatan, Changlun pada 7 Januari lalu.

Program ini merupakan kali ke kedua diadakan sejak tahun 2024 dengan kerjasama pihak Felda Laka Selatan, E-Idaman Sdn. Bhd., Uniutama Property Sdn. Bhd. dan juga CETMA UUM serta turut mendapat sumbangan daripada Kilang Roti Suria, Masnoor Enterprise dan Unimart Yayasan Al-Bukhari.

Pengarah Pusat Asasi Pengurusan, Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman berkata, objektif utama program PEKERTI 2.0 ini untuk memberi peluang kepada pelajar Asasi Pengurusan mengamalkan kemahiran insaniah melalui kerja-kerja kebajikan dan komuniti.

Menurutnya, Program PEKERTI ini melibatkan 135 pelajar dan 16 staf PAP, dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, melukis mural di bangunan tadika, sesi perkongsian ilmu kepada komuniti Felda Laka Selatan dan pemberian sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pengurusan Felda Laka Selatan dan E- Idaman Sdn Bhd atas kerjasama dan sumbangan mereka dalam memastikan program dapat berjalan dengan lancar.

“Semua pihak perlu tahu pentingnya tanggungjawab sosial universiti dalam membantu masyarakat dan pembangunan komuniti.

“Justeru, saya berharap agar usaha penganjuran program sebegini dapat menggalakkan warga UUM khususnya Pusat Asasi Pengurusan untuk terus melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat dan pembangunan sosial negara serta membudayakan Konsep Kebajikan Tanggungjawab Bersama,” katanya.

Sepanjang program dijalankan, antara aktiviti dilakukan adalah pertandingan kitar semula dengan kerjasama E-Idaman Sdn. Bhd (EISB) di mana pihak EISB telah membawa trak bergerak Recycle For Life yang dilengkapi informasi berkaitan kitar semula.

Sebanyak 333 kilogram barangan kitar semula berjaya dikumpul pada program kali ini. Aktiviti seperti ini dapat memberi pendedahan kepada komuniti berkaitan amalan kitar semula dan pengurusan sisa.

Selain itu, perkhidmatan pemeriksaan kesihatan oleh Pusat Kesihatan dan Kesejahteraan Universiti dan pameran bas MEKAR UUM yang dilengkapi dengan bahan-bahan informasi mengenai UUM yang bertujuan untuk mempromosikan UUM kepada masyarakat.

Program dimulakan dengan sesi senamrobik bersama penduduk Felda Laka Selatan dan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) (Felda) Laka Selatan. Peserta program kemudiannya dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk melaksanakan aktiviti gotong-royong di kawasan Masjid Al-Huda, Taman Botani, kawasan Buluh Madu dan perumahan peneroka. Aktiviti ini telah dapat mewujudkan persekitaran perumahan yang kondusif dan ceria.

Pelajar juga turut membantu penduduk Felda Laka Selatan bergotong-royong membuat persiapan untuk memasak makanan tengah hari berkonsepkan rewang kenduri. Antara menu yang disediakan ialah gulai daging, ayam masak kicap dan ulam ulaman.

Selepas aktiviti gotong-royong, program diteruskan dengan sesi perkongsian ilmu oleh Dr. Mohamad Fitri Mohamad Haris yang bertajuk ‘Jambatan Generasi: Antara impian dan tradisi’.

Pengurus Felda Laka Selatan, Wan Rahim Wan Ishak menzahirkan rasa syukur dan gembira atas kunjungan pelajar dan staf PAP.

Beliau berharap program seperti ini dapat diteruskan untuk mengukuhkan hubungan antara PAP UUM dan komuniti Felda Laka Selatan.

Turut hadir, Imam Masjid Al-Huda, Guru Besar SK (Felda) Laka Selatan, Pengerusi Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Rancangan dan Pegawai Komuniti daripada FELDA Wilayah Alor Setar. – Putri Iexora Baiduri Tarmizi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button