General

Dr. Za’im terpilih sebagai pengerusi baharu teraju Majlis Tertinggi UniCC

CI Azizi Arif

PUTRAJAYA, 19 Januari 2025: Pengarah Pusat Kokurikulum, Dr. Za’im Ahmad telah dipilih sebagai Pengerusi Majlis Kokurikulum Universiti Awam Malaysia (UniCC) yang baharu berkuat kuasa Januari 2025 hingga Disember 2026.

Pemilihan beliau itu bagi menggantikan Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah Mat Darus dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), sekali gus menyaksikan perubahan besar dalam kepimpinan UniCC dengan harapan membawa idea dan inovasi baharu ke dalam ekosistem kokurikulum universiti awam.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kokurikulum Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Madya Ts. Dr. Nik Noriman Zulkifli telah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi UniCC, menggantikan Prof. Madya Dr. Mohamad Haafiz Mohamad Kassim dari Universiti Sains Malaysia (USM), manakala Setiausaha UniCC turut menyaksikan perubahan apabila Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Norashidah Abd Rahman dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dilantik menggantikan Datuk Dr. Hasrol Jono dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Dr. Za’im berkata, beliau merakamkan penghargaan atas kepercayaan diberikan untuk beliau memikul tugas baharu itu.

Menurutnya, beliau akan membawa perubahan seiring dengan perkembangan teknologi semasa untuk memberdaya kemampanan bakat, melestari kepimpinan dan kesukarelawan serta memantap elemen digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam pemerkasaan lingkungan kokurikulum.

“Pimpinan baru juga akan meneruskan rancangan Majlis Kokurikulum Universiti Awam Malaysia di peringkat universiti awam dalam aspek inovatif dan fleksibel serta berimpak tinggi. Perancangan ini menekankan kepimpinan sahsiah dan pembangunan modal sosial.

“Selain itu, kita juga akan mewujudkan Pelan Pembangunan Strategik yang akan memfokus kepada keupayaan integrasi teknologi dalam pembelajaran dan pengajaran bagi memartabatkan keberkesanan badan beruniform dan penerapan dalam memacu pembentukan mahasiswa holistik,” katanya.

Majlis tersebut turut mengambil kesempatan untuk menyampaikan penghargaan kepada kepimpinan terdahulu atas jasa serta komitmen mereka dalam memacu UniCC ke tahap yang lebih tinggi.

Dengan pemilihan kepimpinan baharu ini, UniCC dijangka akan terus bergerak ke hadapan dalam membentuk dasar serta hala tuju kokurikulum Universiti Awam Malaysia dengan lebih efektif.

Diharapkan barisan kepimpinan UniCC yang baharu akan terus komited dalam menjalankan amanah serta membawa perubahan positif ke arah memperkukuh sistem kokurikulum universiti yang lebih holistik, berdaya saing, dan selari dengan keperluan industri serta kehendak semasa.

Mesyuarat Majlis Kokurikulum Universiti Awam Malaysia (UniCC) 2025 yang menghimpunkan penggerak utama kokurikulum dari seluruh universiti awam seluruh negara ini bukan sekadar pertemuan tahunan tetapi satu medan strategik bagi membincangkan hala tuju, inovasi, serta pelaksanaan program kokurikulum yang lebih berdaya saing dan selari dengan perkembangan pendidikan tinggi negara.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button