Campus

Pengurusan SQS santuni Sesi Dialog dan Majlis Apresiasi Pelajar SQS 2024

Gambar Pusat Pengajian Sains Kuantitatif

SINTOK, 19 Januari 2025: Sesi Dialog bersama barisan AJK QUSAC dan Majlis Apresiasi Pelajar Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama (BMU) SQS.

Majlis ini bertujuan untuk membincangkan perancangan persatuan serta wakil pelajar, di samping mengiktiraf sumbangan wakil pelajar dan peserta program mobiliti sepanjang tahun 2024.

Sesi dialog dimulakan dengan pembentangan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) SQS dan Ahli Jawatankuasa (AJK) QUSAC yang berkongsi perancangan dan visi mereka untuk meningkatkan kecemerlangan pelajar sepanjang tahun 2025 ini.

Perbincangan ini turut dihadiri oleh Dekan SQS, Prof. Dr. Haslinda Ibrahim bersama penjawat SQS yang memberikan pandangan dan idea berharga mengenai aktiviti dan program yang boleh dilaksanakan bagi memperkasa potensi pelajar.

Menurutnya, sesi ini bertujuan untuk meningkatkan pengalaman pelajar, memupuk semangat inovasi, serta menggalakkan mereka untuk terus berkembang dalam pelbagai aspek akademik dan kokurikulum.

Majlis diteruskan dengan Majlis Apresiasi Pelajar, di mana penghargaan diberikan kepada barisan MPP SQS sesi 2023/2024 dan mantan AJK QUSAC atas dedikasi dan komitmen mereka dalam menjayakan pelbagai inisiatif pelajar dan pusat pengajian.

Selain itu, pelajar yang telah mengharumkan nama SQS turut diraikan atas sumbangan dan pencapaian mereka dalam Program Mobiliti ke Universiti Syiah Kuala (USK) serta Pertandingan Olimpiad Matematik 2024 di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Dr. Haslinda berkata, majlis ini juga menjadi platform untuk menggalakkan semangat kepimpinan, kolaborasi, dan kecemerlangan dalam kalangan pelajar SQS.

“Dengan memberikan penghargaan kepada pelajar dan wakil yang berprestasi tinggi, SQS terus memperkukuh komitmennya untuk memperkasa pelajar dalam mencapai kejayaan bukan sahaja di dalam bilik kuliah, tetapi juga di luar.

“Aktiviti-aktiviti seperti ini memainkan peranan penting dalam mengeratkan hubungan antara pelajar dan pusat pengajian, serta mencipta suasana yang kondusif untuk perkembangan peribadi dan akademik pelajar,” katanya. – Haslida Ismail

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button