Agama

Pusat Islam UUM cipta kelainan, jemaah teruja dapat aiskrim percuma

SINTOK, 22 Januari 2025: Masjid adalah institusi yang memainkan peranan penting dalam membangunkan masyarakat. Sebagai pusat spiritual dan sosial, masjid berfungsi sebagai agen penyatu komuniti dan tempat yang dapat membantu menyelesaikan pelbagai urusan masyarakat.

Bagi membudayakan masjid sebagai pusat kehidupan masyarakat kampus, Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) memperkenalkan kelainan dengan menyediakan ais krim selepas sesi tazkirah Zohor sekali gus mencuri perhatian ramai.

Program yang penuh makna ini berjaya menarik pelajar, staf UUM, serta para pelajar sekolah untuk meriahkan masjid dan menyertai sesi tazkirah yang disampaikan oleh pegawai tadbir di Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan, UUM, Mohd Fairus Abd Majid.

Dalam tazkirahnya, beliau berkongsi tentang empat kuasa kurniaan Allah kepada umat manusia, iaitu kuasa fikir, kuasa emosi, kuasa bercakap, dan kuasa bertindak.

Menurutnya, jika digunakan dengan bijak, keempat-empat kuasa ini dapat menjadi kunci kejayaan dan kemakmuran hidup.

“Kuasa fikir, kuasa emosi, kuasa bercakap, dan kuasa bertindak – semua ini adalah anugerah Allah yang perlu dijaga dan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya untuk mencapai kejayaan dan kesejahteraan hidup,” katanya dalam tazkirah selama 15 minit itu.

Selepas tazkirah, suasana menjadi lebih meriah apabila Masjid Sultan Badlishah menyediakan 500 kon aiskrim percuma yang diagihkan kepada jemaah masjid dan pengunjung Pusat Islam.

Jemaah yang menerima aiskrim kelihatan begitu ceria dan teruja, mengucapkan terima kasih atas inisiatif Pusat Islam yang memupuk keharmonian serta menjalin silaturahim antara warga kampus.

Program ini memberikan peluang kepada mereka untuk beramah mesra dan bertukar-tukar cerita, menjadikan suasana lebih mesra dan akrab.

Sementara itu, Pengarah Pusat Islam, Mohd Yusnaidi Md. Sabri, menyatakan rasa syukur atas kejayaan program santai ini dan menegaskan betapa pentingnya masjid untuk terus berperanan sebagai pusat pembangunan komuniti kampus.

“Kami berharap seluruh warga UUM akan terus menyokong dan memberi dukungan kepada Pusat Islam dalam usaha membangunkan sahsiah pelajar serta mengimarahkan masjid sebagai tempat berkumpulnya aktiviti dan program yang memberi manfaat kepada semua,” ujarnya.

Beliau turut mengalu-alukan cadangan dan idea daripada semua warga kampus bagi memastikan Pusat Islam kekal relevan dalam usaha membangunkan pelajar dan staf secara menyeluruh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button