Ziarah Zon EKSA perhalusi dapatan audit untuk tambah baik persekitaran kerja
Gambar Nik Haziatul Shima Nik Hassan
SINTOK, 9 Februari 2025: Pusat Pengurusan Kualiti dan Akreditasi (PPQA) selaku Penyelaras Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) telah mengadakan Ziarah Zon EKSA bermula 13 Januari 2025 hingga 5 Februari lalu.
Pengarah PPQA, Prof. Madya Dr. Mohd Haniff Jedin berkata, ziarah ini adalah untuk memperhalusi hasil dapatan audit dan memastikan penambahbaikan dilakukan di setiap zon yang terlibat.
Menurutnya, program ini bertujuan untuk mengkaji semula pelaksanaan amalan EKSA berdasarkan laporan audit terkini serta memberikan tumpuan kepada aspek yang perlu diperbaiki untuk meningkatkan persekitaran kerja yang lebih efisien dan kondusif.
“Ianya sebagai langkah penting untuk memastikan bahawa semua dapatan audit dapat diproses dengan teliti dan penambahbaikan dapat dilaksanakan dengan segera bagi memastikan agar setiap zon dapat mencapai matlamat EKSA dengan lebih berkesan, bukan sahaja dari segi kebersihan tetapi juga persekitaran kerja yang lebih kondusif.
“Program ini memberi peluang penambahbaikan kelemahan daripada hasil Pra Audit bagi tahun 2024 seperti etika penggunaan ruang dan peraturan, mewujudkan keseragaman pelaksanaan EKSA serta melaporkan aktiviti atau program yang dilaksanakan di peringkat zon,” katanya.
Di akhir lawatan, delegasi ziarah turut dibawa melawat sudut-sudut kerja dan kemudahan di setiap zon, di mana mereka dapat melihat sendiri keadaan semasa dan mengenal pasti perkara-perkara yang perlu diperbaiki.
Lawatan ini diharapkan dapat memberikan manfaat jangka panjang dalam memperkukuhkan pelaksanaan EKSA di semua zon, serta memberikan sumbangan kepada penciptaan persekitaran kerja yang lebih kondusif dan memenuhi piawaian yang telah ditetapkan.
Dengan tindakan susulan yang rapi, Ziarah Zon EKSA ini diharap dapat meningkatkan pematuhan terhadap prinsip EKSA dan membawa perubahan positif kepada suasana kerja di setiap zon yang terlibat.
Ziarah Zon ini turut melibatkan Pengurus EKSA, Dr. Nur Syazwani Mohd Nawi; Timbalan Pengarah, Mohamad Hapisol Othman; Ketua Penolong Pendaftar Kanan, Faizah Hashim selaku wakil Jawatankuasa Latihan EKSA. – Wan Yusnita Megat Saad