Campus

INSPIRED perkasa jiwa pendidik baharu UUM

Gambar Danial Nizar Mansor

SINTOK, 13 Februari 2025: Program Pensijilan Pengajaran dan Pembelajaran Universiti Utara Malaysia (UUM) atau Innovative New Scholars Programme in Higher Education (INSPIRED) adalah satu inisiatif yang sangat penting bagi memastikan semua pensyarah lantikan baharu memiliki asas yang kukuh dalam pedagogi dan andragogi.

Program anjuran Pusat Pengajaran Pembelajaran Universiti (UTLC) ini telah dirasmikan oleh Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad, Penolong Naib Canselor UUM COB, yang mewakili Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) di Future Learning Lab (FLL), UTLC, semalam.

Dr. Ram Al Jaffri menekankan kepentingan elemen “TESIS” yang merangkumi lima aspek utama yang perlu ada dalam diri seorang pensyarah universiti, iaitu Teamwork, Ethics, Significance, Integrity, dan Sikap (Attitude).

Beliau menjelaskan bahawa pensyarah bukan sahaja berperanan sebagai penyampai ilmu tetapi juga sebagai pembimbing dan pemimpin akademik yang mampu memberi impak kepada pembangunan pelajar serta masyarakat.

“Program INSPIRED ini bertujuan untuk mengembalikan roh atau jiwa pendidik dalam kalangan pensyarah baharu.

“Keberkesanan pengajaran tidak hanya bergantung kepada kepakaran dalam bidang masing-masing, tetapi juga kepada sikap, etika, dan kesediaan untuk bekerja dalam pasukan serta memberi nilai tambah kepada institusi dan masyarakat,” katanya.

Bagi Kohort 1, program Pensijilan Pengajaran dan Pembelajaran UUM (INSPIRED) ini dilaksanakan secara intensif selama 12 hari bermula pada 12 hingga 27 Februari 2025 bagi Latihan Fasa 1. Setiap peserta perlu melengkapkan semua modul dalam Fasa 1 sebelum layak untuk ke Fasa 2, iaitu Pencerapan Klinikal dan Pembangunan Kursus Massive Open Online Courses (MOOC).

Antara topik-topik yang akan dipelajari peserta sepanjang program ini termasuklah falsafah pendidikan, reka bentuk dan pembangunan kurikulum, memahami pelajar dewasa, kaedah pengajaran inovatif, penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran, strategi pentaksiran berkesan, serta pembangunan profesionalisme dan kesarjanaan.

Sementara itu, Pengarah UTLC, Prof. Madya Dr. Siti Noor Ismail berkata, INSPIRED bukan sekadar satu keperluan akademik, tetapi juga satu platform untuk membina rangkaian profesional dalam kalangan pensyarah muda serta mempersiapkan mereka untuk menghadapi cabaran dalam dunia akademik yang semakin kompetitif.

Majlis perasmian turut disusuli dengan sesi taklimat yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Latihan UTLC, Dr. Saadi Ahmad Kamaruddin yang memberi penerangan lanjut mengenai struktur program, objektif, dan kaedah penilaian sepanjang tempoh program pensijilan ini berlangsung.

Dengan pelaksanaan program INSPIRED ini, UUM berharap agar setiap pensyarah baharu dapat mengadaptasi budaya pengajaran yang lebih dinamik, berinovasi, dan beretika, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan pendidik yang berwibawa dan berkualiti tinggi. – Salwa Hanim Adam dan Fadhlina Md Pudzi

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button