Campus

UUM 41 tahun tetap bersama meneruskan kecemerlangan

Gambar Muhammad Shamsul Shafie

SINTOK, 18 Februari 2025: Sejak penubuhan Universiti Utara Malaysia empat dekad lalu, UUM terus menjadi institusi yang sentiasa menyumbang kepada pembangunan ilmu dan kepimpinan negara.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, ditubuhkan pada 16 Februari 1984, institusi ini telah berkembang pesat menjadi pusat kecemerlangan akademik dan penyelidikan.

Namun, menurutnya, di sebalik kejayaan ini, teras utama yang menjayakan UUM adalah warga kerja yang berdedikasi dan berdaya saing.

Katanya, kekuatan UUM berasaskan kepada seramai 3,058 staf yang masih berkhidmat, membuktikan komitmen tinggi dalam mendukung aspirasi universiti sebagai peneraju pendidikan pengurusan dan perniagaan.

“Sebagai sebuah universiti yang terkenal dengan keunggulan dalam bidang pengurusan, perniagaan dan keusahawanan, UUM telah memainkan peranan penting dalam melahirkan sumber manusia berkualiti yang menyumbang kepada pembangunan negara.

“Sejak penubuhan universiti ini 41 tahun lalu, jumlah alumni UUM keseluruhan kini ialah seramai 172,570 orang,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Pengasasan Universiti Utara Malaysia (UUM) Ke-41 dan Penghargaan Petugas Majlis Konvokesyen Ke-37 di Dewan Mu’adzam Shah, pagi tadi.

Selain sektor awam, sektor perkhidmatan kewangan menerima sumbangan besar daripada alumni UUM dengan 16 peratus terlibat dalam industri ini termasuk dalam institusi perbankan utama seperti Maybank dan Bank Islam serta sektor strategik lain seperti teknologi maklumat (8 peratus), pembuatan (5 peratus), dan kesihatan (3 peratus), membuktikan kepelbagaian kepakaran yang dihasilkan oleh UUM.

Majlis ini telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato’ Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian.

Dr. Mohd Foad berkata, dengan jaringan alumni yang luas dan berpengaruh dalam pelbagai industri, UUM yakin akan terus melahirkan graduan yang berdaya saing dan menjadi pemimpin masa depan.

Beliau juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas yang telah bertungkus-lumus menjayakan Majlis Konvokesyen UUM Ke-37.

Menurutnya, kejayaan sesuatu majlis tidak hanya bergantung kepada acara di pentas utama, tetapi juga kepada usaha di sebalik tabir yang memastikan segalanya berjalan lancar.

Katanya, komitmen dan dedikasi diberi semua tidak ternilai harganya. Setiap usaha kecil yang dicurahkan daripada persiapan awal, penyelarasan majlis, hingga layanan kepada graduan dan keluarga mereka telah menyumbang kepada pengalaman bermakna bagi graduan yang diraikan.

Ilmu ditimba sepanjang usia,
Menjadi suluh menerangi diri,
Budi disemai penuh setia,
Mekar berbakti takkan terhenti.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button