PPKKG kukuhkan hubungan kerjasama dengan Zurich Takaful Malaysia
Gambar Muhammad Hafizal Faiz Suhaime
SINTOK, 20 Februari 2025: Delegasi Zurich Takaful Malaysia Berhad (ZTMB) telah mengadakan kunjungan hormat ke Universiti Utara Malaysia (UUM), baru-baru ini.
Delegasi yang diketuai oleh Regional Sales Manager (RSM) Northern ZTMB, Azita Abu Hadzim bersama lima pegawai disambut oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed dan Pengarah Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG), Dr. Fikriyah Abdullah.
ZTMB telah menyatakan hasrat untuk mengadakan beberapa program kepada pelajar UUM khususnya pelajar tahun akhir antaranya ialah sesi ceramah perkongsian bersama Ketua Pegawai Eksekutif ZTMB untuk berkongsi pengalaman industri mereka dengan pelajar.
Selain itu juga, kunjungan ini turut membincangkan tentang persediaan untuk mengadakan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UUM dengan ZTMB yang akan turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif ZTMB.
Di samping itu, ZTMB juga berhasrat untuk meneruskan program School of Hard Knocks (SoHK) di bawah inisiatif PPKKG iaitu Zurich Takaful Padawan 4.0 yang dijangka akan dilaksanakan pada April nanti.
ZTMB berpandangan bahwa program ini sangat berkesan sebagai medium yang efektif untuk menilai pengetahuan, kemahiran dan kecekapan pelajar sebelum mereka melangkah ke dunia pekerjaan yang sebenar.
Dr. Ahmad Martadha menyambut baik hasrat ZTMB untuk terus berkolaborasi bersama UUM dalam program-program yang akan datang.
Beliau amat menghargai inisiatif yang ditunjukkan oleh pihak ZTMB terutamanya dalam membantu pelajar UUM untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang bergaji premium di mana secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan UUM. – Anis Zulaikha Kamal