Campus

Keusahawanan digital jadi pemangkin Transformasi Changlun

Berita dan gambar CEDI

SINTOK, 20 Februari 2025: Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama eDesa.my dan Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CeTMA) UUM serta sokongan daripada Maybank, SSM, LHDN, dan MyIPO telah menganjurkan ’Bengkel Bijak Niaga: Perkasa Perniagaan Digital’ di Dewan Seminar A, Pusat Konvensyen UUM.

Lebih 70 peserta terdiri daripada usahawan komuniti, pelajar, staf akademik dan bukan akademik UUM, ahli ANGKASA serta peserta komuniti di bawah Program Transformasi Changlun (CeTMA) dan APPGM-SDG menyertai bengkel tersebut.

Pengarah CEDI, Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd Khan berkata, bengkel ini memberi peluang kepada para peserta untuk memahami kepentingan pemasaran digital dan cara memanfaatkan platform eDesa.my sebagai medium perniagaan dalam talian.

Menurutnya, sepanjang program berlangsung, peserta didedahkan dengan pelbagai pengisian ilmiah termasuk sesi taklimat oleh agensi berkaitan.

“Maybank berkongsi maklumat mengenai perancangan kewangan bagi usahawan, manakala SSM menekankan kepentingan pendaftaran perniagaan secara sah. LHDN turut memberikan penerangan mengenai kefahaman asas percukaian bagi usahawan baharu, dan MyIPO pula menjelaskan tentang hak harta intelek serta kepentingan perlindungan jenama dalam dunia perniagaan.

“Selain sesi perkongsian oleh agensi terlibat, peserta turut dibimbing secara praktikal dalam bengkel pendaftaran penjual di eDesa.my serta teknik pemasaran digital bagi memperluaskan pasaran.

“Program ini juga memberi ruang kepada peserta untuk berinteraksi dan berkongsi pengalaman dalam sesi soal jawab yang berlangsung dengan penuh manfaat,” katanya.

Dr. Shazida menegaskan betapa pentingnya digitalisasi dalam perniagaan dan bagaimana platform seperti eDesa mampu membantu usahawan tempatan untuk memperluaskan capaian mereka ke pasaran yang lebih luas.

Beliau turut berharap agar lebih ramai usahawan dapat memanfaatkan kemudahan digital yang ada dan menjadikan eDesa sebagai salah satu medium utama dalam memasarkan produk mereka.

Peserta memberikan maklum balas yang sangat positif, menyatakan bahawa program ini membantu mereka memahami selok-belok perniagaan digital serta kepentingan strategi pemasaran yang berkesan.

Mereka juga berpeluang mendapatkan bimbingan secara langsung daripada pakar industri dan wakil agensi kerajaan yang terlibat. Program ini diakhiri dengan sesi perkongsian pengalaman, di mana peserta berkongsi cabaran dan peluang yang mereka hadapi dalam perniagaan digital, menjadikan bengkel ini sebagai satu platform yang sangat bermanfaat bagi mereka.

CEDI UUM berharap bengkel ini dapat menjadi pemangkin kepada lebih ramai usahawan untuk memanfaatkan teknologi digital dan terus berkembang dalam dunia perniagaan moden.

Dengan kejayaan program ini, pihak CEDI bercadang untuk meneruskan penganjuran bengkel seumpama ini bagi membantu lebih ramai usahawan meningkatkan daya saing mereka dalam ekonomi digital.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button