UUM Leads dapat peluang kerjasama latihan dan TVET bersama IDS Sabah
Gambar Andy Bachtiar
PENAMPANG, 23 Februari 2025: Lawatan dan perbincangan oleh Pengurus Latihan UUM Leads, Andy Bachtiar Ibrahim ke Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah telah membuka peluang baharu untuk kerjasama dalam bidang latihan dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negeri Sabah.
Kunjungan turut disertai Penyelaras Pengurusan TVET, Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Universiti Utara Malaysia (UUM) disambut Ketua Pegawai Eksekutif, IDS, Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambu di Bilik Mesyuarat Ketua Pegawai Eksekutif IDS.
Perbincangan meliputi perkara membentuk satu program latihan melibatkan peningkatan kompetensi pegawai dan jurulatih untuk kelayakan mendapat Accredited Trainer oleh HRD Corporation.
Selain itu, perbincangan turut memfokuskan kepada latihan serta pembentukan program-program TVET untuk rakyat Sabah.
Perbincangan diikuti dengan penjelasan tentang aktiviti Institut Kajian Pembangunan Sabah yang boleh melibatkan pihak Universiti Utara Malaysia secara amnya.
Andy akan melihat latihan yang boleh disesuaikan dengan visi dan misi serta perancangan IDS untuk dilaksanakan.
Program latihan yang dirancang ini bakal membuka peluang untuk semua komuniti Sabah terutamanya latihan melibatkan TVET yang akan diwujudkan di negeri itu nanti.
Sementara itu, Dr. Ramzah turut menyarankan kerjasama dalam bidang-bidang yang melibatkan kemahiran yang boleh memberi impak kepada komuniti dari segi peningkatan pendapatan dan peluang membuka perniagaan.
Menurutnya, program latihan yang dicadangkan oleh UUM Leads ini amat berpotensi untuk ditawarkan pada masa akan datang yang boleh melibatkan semua terutamanya komuniti setempat sekitar negeri Sabah.
Beliau juga menyatakan bahawa dengan pemerkasaan dari persijilan profesional melibatkan kemahiran dapat membantu pihak industri dengan melahirkan lebih ramai tenaga mahir yang kompeten terutamanya di negeri Sabah. – UUM LEADS