Education

Program inbound mobiliti antara SOL dan Zhejiang Police Vocational College, China membuka ruang pemindahan ilmu

Berita dan gambar oleh: PM Dr Haslinda Mohd Anuar

SINTOK, 3 – 8 Ogos 2026: Pusat Pengajian Undang-undang, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Program Mobiliti bersama Zhejiang Police Vocational College, China bermula 3 hingga 8 Ogos 2026 bertempat di kampus UUM Sintok.

Seramai 14 orang pelajar beserta 2 orang tenaga pengajar daripada College tersebut terlibat dalam program ini.

Penganjuran program ini bertujuan memperkukuh hubungan akademik dan diplomasi antarabangsa antara Malaysia dan China, di samping memupuk kefahaman bersama mengenai sistem perundangan, amalan kepolisan, serta warisan kebudayaan kedua-dua negara.

Majlis perasmian program telah disempurnakan menerusi ucapan aluan oleh Dekan SOL, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab di Auditorium SAC, yang disusuli dengan ucapan wakil Zhejiang Police Vocational College serta sesi pertukaran cenderamata sebagai simbolik ikatan kerjasama.

Siri pengisian akademik program telah dimantapkan dengan pelbagai syarahan kepakaran tempatan yang merangkumi gambaran keseluruhan Sistem Perundangan Malaysia oleh Dr. Najah Inani Abd Jalil, Prosedur Jenayah Malaysia oleh Dr. Aida Abdul Razak, serta Pengurusan Penjara dan Pemulihan Komuniti oleh TKP Lim Kim Mooi.

Di samping itu, satu forum khas berkaitan jenayah rentas sempadan dan kerjasama keselamatan ASEAN turut diadakan bersama ahli panel Dr. Mukhriz Mat Rus dan Dr. Muhammad Ali Ridha Norman, diiringi syarahan mengenai sosio-budaya masyarakat Malaysia oleh Dr. Aszlan Selamat.

Bagi memberikan pendedahan holistik, para peserta disajikan dengan siri lawatan warisan dan sejarah sekitar kampus UUM, Muzium Diraja Kedah, Pekan Rabu, serta sekitar Perlis.

Majlis penutup dan makan malam kebudayaan telah diadakan pada 6 Ogos 2026 yang dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan oleh Pusat Kebudayaan dan Seni UUM, ucapan penutup oleh Dekan, dan penyampaian sijil penyertaan.

Program ini seterusnya melengkapkan pengembaraan ilmu menerusi lawatan ke Muzium Penjara Malaysia dan Muzium Kebudayaan Cheng Ho di Melaka, Istana Kehakiman di Putrajaya, serta Muzium Polis Diraja Malaysia di Kuala Lumpur sebelum para peserta berlepas pulang ke China pada 11 Ogos 2026.

Penganjuran program mobiliti ini diharap dapat menjadi asas kukuh bagi kerjasama jangka panjang dalam bidang penyelidikan bersama, pertukaran pelajar, dan latihan profesional antara UUM dan Zhejiang Police Vocational College pada masa hadapan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button