Bengkel Pengukuhan PdP Semester A242 perkasa kualiti akademik
Gambar SBM
SINTOK, 3 Mac 2025: Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Bengkel Pengukuhan Pengajaran & Pembelajaran bagi Semester A242 di Bilik Mesyuarat Kedah, SBM, baru-baru ini.
Dekan SBM, Prof. Madya Dr. Shuhymee Ahmad berkata, bengkel ini bertujuan untuk memperkukuh kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan tenaga akademik SBM, seiring dengan aspirasi UUM untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan pengalaman pembelajaran pelajar.
Menurutnya, program ini menghimpunkan pensyarah dan staf akademik SBM dalam sesi interaktif yang menampilkan pembentangan, diskusi berkumpulan, serta perkongsian strategi pengajaran berkesan.
“Antara aspek utama yang dibincangkan termasuk pemanfaatan teknologi dalam pembelajaran, serta pendekatan untuk meningkatkan keterlibatan pelajar di dalam kelas.
“Bengkel ini bukan sahaja memberikan ruang kepada peserta untuk bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman dalam meningkatkan mutu pembelajaran, tetapi juga bertindak sebagai platform pemantapan aktiviti dan kualiti pengajaran dan pembelajaran di SBM,” katanya.
Dengan penglibatan aktif tenaga akademik, program ini diharapkan dapat memperkasakan amalan pengajaran yang lebih inovatif dan efektif, sekali gus menyumbang kepada kecemerlangan akademik di SBM dan UUM secara keseluruhannya. – Azam Arni Mohd Noor