Pensyarah IBS ingatkan staf KWSP tentang amanah dan tanggungjawab
Berita dan gambar Mejar Dr. Mohd Adib Abd Muin
KANGAR, 3 Mac 2025: Dalam usaha memperkukuh etika kerja yang berlandaskan amanah dan tanggungjawab di organisasi, satu ceramah motivasi telah dianjurkan untuk staf Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Cawangan Kangar di Merdeka Beach Resort.
Ceramah ini disampaikan oleh Pensyarah Kanan dari Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Mejar Dr. Mohd Adib Abd Muin dan mendapat sambutan yang sangat positif daripada peserta.
Dalam ceramah bertajuk “Amanah dan Tanggungjawab dalam Bekerja”, penceramah menekankan kepentingan nilai integriti, kejujuran, dan dedikasi dalam melaksanakan tugas harian dan kesan amanah dan tanggungjawab sebenar terhadap Penunjuk Prestasi Utama (Key Performance Indicator) yang telah ditetapkan.
Beliau mengingatkan bahawa amanah bukan sekadar tanggungjawab kepada majikan, tetapi juga satu amanah kepada diri sendiri, masyarakat, dan negara.
“Nilai Amanah dan tanggungjawab sangat penting dan berkait rapat dengan KPi yang ditetapkan oleh mana-mana organisasi. Antaranya setiap individu atau jabatan yang bertanggungjawab terhadap KPI perlu memastikan data yang dilaporkan adalah tepat dan jujur.
“Ia juga merupakan komitmen untuk mencapai sasaran yang ditetapkan oleh pihak pengurusan atasan untuk mencapai objektik, visi dan misi,” katanya.
Munurutnya, kesan amanah dan tanggungjawab yang dilakukan oleh pekerja adalah sangat besar antaranya berkait dengan ketepatan dan kebolehpercayaan, budaya kerja yang sihat, keberkesanan pengurusan prestasi, integriti dan reputasi organisasi, peningkatan kebertanggungjawaban, dan moral.
Penceramah turut berkongsi kisah inspirasi, data statistik, dan contoh situasi kerja sebenar bagi menunjukkan bagaimana sikap bertanggungjawab dan amanah mampu meningkatkan kualiti perkhidmatan serta mewujudkan persekitaran kerja yang lebih efisien, harmoni dan produktif, malah cabaran dalam mencapai KPI juga turut didedahkan.
“Banyak cabaran yang berlaku dalam kalangan pekerja di organisasi antaranya kurang komitmen, tidak komited dengan tugas dan tidak bermotivasi, menghadapi tekanan kerja, komunikasi kasi yang tidak efektif, sikap malas, tidak berusaha dan tidak mahu belajar, kekurangan sumber kewangan, teknologi dan tenaga kerja, perubahan persekitaran luar seperti ekonomi, politik dan persaingan yang tidak stabil, penetapan KPI yang terlalu tinggi dan tidak realistik, pengurusan yang lemah, dan pengukuran yang tidak konsisten,” katanya.
Ceramah ini disampaikan secara interaktif dan penuh motivasi, di mana peserta diberi peluang untuk berkongsi pengalaman serta mengambil bahagian dalam sesi refleksi kendiri.
Salah seorang peserta, Hasaruddin Abd Rahman menyatakan bahawa ceramah ini memberi kesedaran mendalam tentang peranan dan tanggungjawab sebagai pekerja yang berdedikasi dengan tugas yang diberikan.
“Saya kini lebih memahami bahawa setiap tugas yang saya lakukan bukan hanya sekadar memenuhi keperluan kerja, tetapi juga satu tanggungjawab besar yang memberi kesan kepada orang lain. Ceramah ini benar-benar membuka mata saya dan semua rakan peserta,” katanya.
Ketua Cawangan KWSP Kangar, Fadzil Zainon berkata, program sehari ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang pentingnya integriti, amanah, dan tanggungjawab dalam melaksanakan tugas harian, terutamanya dalam konteks perkhidmatan awam.
Menurutnya, staf KWSP Cawangan Kangar yang terlibat secara langsung dalam pengurusan dana simpanan persaraan rakyat, diberi pendedahan tentang bagaimana nilai-nilai ini dapat diaplikasikan dalam kerja seharian untuk memastikan kepercayaan dan kepuasan pelanggan berada di tahap yang terbaik.
Katanya, program ini amat bermakna dan relevan dengan misi KWSP untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada ahli-ahlinya.
“Kami berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan untuk memastikan staf sentiasa bersemangat dan komited dalam menjalankan tanggungjawab mereka,” katanya.
Diakhir ceramah, Dr. Mohd Adib telah menjelaskan ayat al-Quran dari surah al-Anfal ayat 27 yang perlu dihayati oleh semua peserta: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)”.