Campus

Pasukan landskap dan persekitaran UUM sedia untuk EKSA 2025

Berita dan gambar Nik Haziatul Shima Nik Hassan

SINTOK, 10 Mac 2025: Demi memastikan persekitaran Universiti Utara Malaysia (UUM) sentiasa dalam keadaan bersih, kemas, dan teratur mengikut prinsip Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA), satu taklimat khas telah diadakan kepada kontraktor landskap dan persekitaran universiti.

Pengurus Pengurusan Kualiti dan EKSA, PPQA, Dr. Nur Syazwani Mohd. Nawi berkata, taklimat ini bertujuan memberi pendedahan kepada kontraktor mengenai kepentingan amalan EKSA dalam pengurusan landskap dan kebersihan kampus.

Menurutnya, seramai 92 peserta yang terdiri daripada staf kontraktor serta wakil syarikat penyelenggaraan hadir bagi memahami garis panduan dan standard EKSA yang perlu dipatuhi.

“Pelaksanaan EKSA bukan sahaja membantu meningkatkan imej kampus tetapi juga memastikan keselesaan warga universiti.

“Sebagai penyedia perkhidmatan penyelenggaraan landskap dan kebersihan, kontraktor memainkan peranan penting dalam menjayakan EKSA. Justeru, pematuhan terhadap aspek kebersihan, pengurusan sisa buangan, serta susun atur landskap yang sistematik amat diperlukan,” katanya.

Taklimat yang berlangsung di Dewan Seminar C, Pusat Konvensyen itu disampaikan oleh Ketua Penolong Pendaftar Kanan Jabatan Sumber Manusia (JSM), Faizah Hashim yang juga mewakili Jawatankuasa Latihan EKSA UUM turut merangkumi sesi penerangan tentang amalan EKSA, pengurusan sisa buangan dengan kaedah lestari, serta kepentingan penyelenggaraan hijau dalam mengekalkan ekosistem kampus yang harmoni.

Selain itu, sesi soal jawab turut diadakan bagi memberi peluang kepada kontraktor mendapatkan penjelasan lanjut mengenai pelaksanaan EKSA di UUM.

Pihak universiti berharap agar semua kontraktor yang terlibat dapat bekerjasama dalam memastikan standard EKSA sentiasa dipatuhi demi mewujudkan persekitaran kampus yang lebih kondusif dan mesra alam.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button