Ramadan bulan terbaik didik anak muda dengan aktiviti bermanfaat
Gambar Shamsaimi Ezil
SINTOK, 12 Mac 2025: Anak muda digalakkan untuk mengimarahkan bulan Ramadan dengan melakukan inisiatif yang baik dalam usaha mendidik mereka melakukan aktiviti bermanfaat.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, hal ini boleh mewujudkan suasana keakraban, dan keseronokan beramal ibadat, di samping menyemarakkan amalan secara kolektif.
Menurutnya, beliau dimaklumkan Persatuan Pelajar Asasi Pengurusan Sesi 2024/2025 dengan kerjasama Pusat Asasi Pengurusan telah menganjurkan kempen Barakah Ramadan di mana pelbagai program menarik sepanjang bulan Ramadan telah dirancang dan dilaksanakan,antaranya seperti Solidariti Palestin dan Refleksi Ramadan.
Katanya, sesungguhnya pengisian program-program ini merupakan satu inisiatif yang sangat baik di bulan Ramadan ini dan hikmah utama ibadah puasa adalah satu bentuk ibadah yang disyariatkan untuk manusia tunduk dan patuh terhadap perintah Allah.
“Puasa juga disyariatkan untuk melatih jiwa dalam menanggung beban kepayahan untuk mendidik kita menjadi lebih baik dan empati dengan kesusahan orang lain.
“Saya berharap puasa ini dapat membentuk peribadi unggul khususnya kepada bakal generasi pewaris kepimpinan dan peneraju pembangunan negara,” katanya pada Majlis Iftar Barisan Kepimpinan Persatuan Pelajar Asasi Pengurusan Bersama Naib Canselor Universiti Utara Malaysia di EDC UUM, semalam.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pelajar Asasi Pengurusan Sesi 2024/2025, Muhammad Thaqif Amsyar Azman berkata, persatuan dengan kerjasama pengurusan Pusat Asasi Pengurusan telah melaksanakan dan merancang lebih 39 program yang memberi nilai dan manfaat kepada semua pelajar bagi memastikan pelajar dapat menjadi pemimpin yang cemerlang pada masa hadapan.
Menurutnya, Program Asasi Pengurusan UUM ini adalah satu titik permulaan untuk kami mempersiapkan diri sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda kelak.
Program diteruskan dengan Tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perniagaan Islam, Dr. Amirul Haqeem Abd Ghani dengan tajuk ‘Ramadan Membentuk Kepimpinan Unggul’.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; Pengarah Pusat Asasi Pengurusan, Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman dan pegawai-pegawai kanan universiti serta Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2024/2025, Muhammad Syafiq Haikal Shafie.