Tech

Inovasi Pusat Asasi Pengurusan raih pengiktirafan di PITRAM 2025

Gambar Persatuan Pelajar Asasi Pengurusan Sesi 2024/2025

TERENGGANU, 11 Mac 2025: Pusat Asasi Pengurusan (PAP), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai Pertandingan Inovasi Antara Asasi Malaysia (PITRAM) 2025 Edisi ke-5 yang berlangsung pada 23 Februari lalu di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Pertandingan Inovasi Antara Asasi Malaysia (PITRAM) merupakan pertandingan tahunan di bawah naungan Majlis Dekan/Pengarah Asasi Universiti Awam.

Pengarah PAP, Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman berkata, UUM telah mempertaruhkan 13 produk inovasi daripada 361 yang dipertandingkan oleh 36 institusi.

Menurutnya, bagi edisi PITRAM kali ini, PAP UUM telah berjaya meraih dua pingat emas menerusi projek inovasi pelajar, SERAMPUNG dan Cmas.

Produk inovasi ‘SERAMPUNG’ yang dihasilkan oleh Rachel Cheong Rye Rou, Lim Jia Yuan, Ooi Sin Ying dan Henry Tan Lik Huan merupakan peranti terapung modular yang direka untuk membersihkan tumpahan minyak di laut secara cekap dan lestari.

Peranti ini menggunakan span aerogel yang hanya menyerap minyak tanpa air serta beroperasi dengan tenaga solar atau bateri. Produk ini juga berfungsi secara autonomi dengan bantuan GPS, sistem AI, dan sensor minyak, menjadikannya teknologi mesra alam dan mampan.

Rachel Cheong Rye Rou berkata, idea menghasilkan ‘SERAMPUNG’ tercetus daripada keperluan untuk membangunkan teknologi yang lebih mesra alam serta menjimatkan kos dalam usaha melindungi biodiversiti serta memulihkan lautan secara mampan.

Sementara itu, kumpulan yang disertai oleh Dania Thurrayen Afiya Mohd Zafizal, Nurul Athirah Mohd Idris, Nur Amni Suhaimi, Nur Ain Hidayah Sulaiman, dan Aisya Hayani Aliyazim turut meraih pingat emas dalam pertandingan PITRAM menerusi inovasi aplikasi ‘Cmas’.

Projek inovasi ’Cmas’ merupakan aplikasi telefon yang direka untuk membantu warga emas menguruskan kesihatan mereka dengan lebih baik, termasuk peringatan pengambilan ubat, integrasi kecemasan dengan hospital, serta pemantauan rekod kesihatan. Selain itu, ia juga membolehkan doktor memberikan nasihat secara dalam talian dan memudahkan pengguna membuat temu janji perubatan. Aplikasi ini juga menekankan privasi pengguna dan boleh digunakan secara luar talian.

Di samping itu, PAP UUM turut berjaya meraih tiga pingat perak menerusi projek inovasi pelajar iaitu Projek WASTE2PAGE, VOLTAN3 dan PERTARUNGAN BIJAKSANA serta lima pingat gangsa bagi Kategori Pelajar iaitu projek BioSelamat, 2 Dalam 1 Pendingin Hawa dan Pemanas Air, TelurMat, InoCahaya dan Jelajah Kemahiran.

Bagi kategori staf, Pusat Asasi Pengurusan turut mencatat pencapaian membanggakan dengan meraih Anugerah Poster Terbaik (Tempat Kedua) menerusi projek MUET Edge selain berjaya membawa pulang dua pingat perak dan satu pingat gangsa.

Dr. Muhammad Fuad menzahirkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua peserta PITRAM, staf akademik dan pentadbiran yang bertindak sebagai mentor dalam menjana idea bagi penghasilan produk-produk inovasi ini.

“Penyertaan PITRAM berpotensi melahirkan generasi yang prihatin dan ihsan dengan keperluan masyarakat serta proaktif dalam penghasilan inovasi kepada penyelesaian masalah untuk kesejahteraan insan, selaras dengan matlamat Masyarakat MADANI,” katanya.

Majlis penutup PIITRAM 2024 disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ruziah Shafei.

PITRAM adalah pertandingan peringkat kebangsaan yang mengetengahkan bakat pelajar dan staf asasi serta matrikulasi dalam inovasi. Ia juga adalah medan menghasilkan reka cipta berteraskan Sains Teknologi, Kejuruteraan, Kesenian dan Matematik (STEAM) sejajar dengan transformasi pendidikan kebangsaan bagi melahirkan modal insan yang sangat mahir dan inovatif.

Melalui PITRAM 2025, ahli akademik juga berpeluang untuk menonjolkan dan mengetengahkan idea serta praktis terbaik yang diamalkan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) melalui hasil ciptaan kreativiti mereka. Selain itu, PITRAM 2025 menganjurkan pertandingan inovasi peringkat Sekolah Berasrama Penuh (SPB) bagi para pelajar sekolah untuk berjinak dalam menghasilkan idea kreatif dan inovatif. – Farah Nur Aisha Kuah

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button