268 pelajar Asasi kuasai konsep asas dan aplikasi AI
Gambar Nur Farah Hanim Abdul Halim (Pelajar Praktikum)
SINTOK, 12 Mac 2025: Dalam era digital yang semakin berkembang pesat, teknologi kercerdasan buatan (AI) telah menjadi sebahagian penting dalam pelbagai bidang termasuk bidang pendidikan. Penggunaan AI dalam sektor pendidikan menawarkan pelbagai kebaikan yang mampu meningkatkan kualiti pembelajaran dan pengajaran.
Oleh itu, Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) dengan kerjasama Microsoft Malaysia dan Pepperlabs telah mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan program Microsoft AI for All di Dewan Seminar A, Pusat Konvensyen, semalam.
Seramai 268 pelajar asasi telah mengambil peluang menyertai program ini dan Accredited Trainer, UUM Leads, Andy Bachtiar Ibrahim telah dijemput sebagai tenaga pengajar program tersebut.
Pengarah PPKKG, Dr. Fikriyah Abdullah berkata, program ini merupakan satu inisiatif yang bertujuan untuk meningkatkan pemahaman dan kemahiran pelajar dalam bidang AI.
Selain itu, menurutnya, program ini dapat memberi pendedahan kepada pelajar mengenai teknologi AI serta penggunaannya dalam industri.
“Dengan kerjasama Microsoft, program ini turut menyediakan latihan, sumber pembelajaran, dan pengalaman praktikal kepada pelajar-pelajar UUM.
“Program AI ini sangat bermanfaat kepada pelajar kerana dapat meningkatkan kesedaran pelajar mengenai kepentingan kemahiran AI dalam pasaran kerja, di samping dapat memberi peluang kepada pelajar untuk memperoleh pensijilan Microsoft AI yang diiktiraf,” katanya.
Dengan peningkatan permintaan terhadap kemahiran AI dalam pasaran kerja, program ini dapat memberi nilai tambah yang tinggi kepada pelajar dan manfaat kepada lebih ramai pelajar pada masa akan datang. – Anis Zulaikha Kamal