Bengkel Juruaudit Dalaman tingkat kefahaman dalam laksana audit EKSA
Berita dan gambar Nik Haziatul Shima Nik Hassan
SINTOK, 16 Mac 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Pengurusan Kualiti dan Akreditasi (PPQA) telah menganjurkan Bengkel Juruaudit Dalaman EKSA bertempat di Dewan Budi Siswa, Pusat Budaya dan Seni (PBS), UUM.
Bengkel ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan kemahiran juruaudit dalaman dalam melaksanakan audit EKSA secara lebih sistematik dan berkesan.
Bengkel ini telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Kualiti dan Akreditasi (PPQA), Prof. Madya Dr. Ku Maisurah Ku Bahador di mana dalam ucapannya menekankan kepentingan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) sebagai satu budaya kerja yang mampan dalam organisasi.
Menurutnya, peranan juruaudit dalaman amat penting dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan EKSA serta memperkasa usaha penambahbaikan berterusan dalam persekitaran kerja.
Penceramah jemputan bengkel ini ialah Pensyarah Kanan Institut Aminuddin Baki (Cawangan Utara), Jitra, Suriati Suhaimi.
Sepanjang bengkel ini, peserta telah didedahkan kepada beberapa sesi pembelajaran utama, termasuklah pemahaman kriteria penilaian EKSA, kaedah pemarkahan dan aspek yang dinilai, latihan praktikal audit dalaman EKSA, teknik pelaporan audit yang berkesan serta pembentangan dan maklum balas.
Peserta turut berpeluang untuk berbincang dan berkongsi pengalaman dalam sesi soal jawab bagi memperkukuh pemahaman mereka mengenai proses audit dalaman EKSA.
Bengkel ini diharapkan dapat meningkatkan kecekapan juruaudit dalaman dalam menjalankan tugas mereka dengan lebih profesional, sekaligus memastikan amalan EKSA terus menjadi budaya kerja yang berterusan di dalam organisasi.
Turut hadir, Pengurus Kualiti dan EKSA PPQA, Dr. Nur Syazwani Mohd Nawi; Ketua Penolong Pendaftar Kanan JSM, Faizah Hashim, dan Timbalan Pengarah Pentadbiran/Jaringan PPQA, Mohamad Hapisol Othman.