Campus

AI dalam penulisan akademik

Antara manfaat dan perangkap!

Berita dan gambar Azam Arni Mohd Noor

SINTOK, 16 Mac 2025: Kecerdasan buatan (AI) semakin menjadi alat penting dalam dunia akademik, tetapi sejauh mana ia boleh digunakan tanpa menjejaskan integriti penulisan?

Soalan ini menjadi fokus utama dalam Bengkel Penulisan Akademik Menggunakan Alat AI: Do’s and Don’ts yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Pascasiswazah, Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 13 Mac lalu.

Bengkel ini dikendalikan oleh Ts. Dr. Mathivannan a/l Jaganathan, seorang pakar dalam teknologi AI dan inovasi pendidikan.

Beliau berkongsi panduan praktikal tentang bagaimana AI boleh digunakan secara bertanggungjawab dalam penulisan akademik tanpa melanggar etika atau mengurangkan nilai keaslian karya.

Menariknya, bengkel ini mendapat sambutan hangat dengan penyertaan seramai 80 orang, terdiri daripada pensyarah, penyelidik, dan pelajar pascasiswazah. Peserta bukan sahaja berpeluang mencuba sendiri beberapa alat AI, malah mereka turut diberikan pendedahan tentang batasan serta kesalahan yang perlu dielakkan, termasuk risiko plagiarisme dan kebergantungan berlebihan kepada teknologi.

Dr. Mathivannan berkata, “AI bukan musuh, tetapi alat yang perlu digunakan dengan bijak. Jika dimanfaatkan dengan betul, ia dapat mempercepatkan proses penyelidikan dan membantu menghasilkan penulisan yang lebih berkualiti.”

Bengkel ini bukan sekadar memperkenalkan teknologi AI dalam penulisan akademik, tetapi juga memberi penekanan kepada pemikiran kritis dan kesedaran etika dalam era digital.

SBM berharap program sebegini dapat diteruskan untuk membimbing warga akademik dalam memanfaatkan teknologi secara bertanggungjawab.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button