UUM mampu bersaing di peringkat antarabangsa – Naib Canselor
Gambar oleh: Muhammad Shamsul Shafie
SINTOK, 14 April 2026: Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, kejayaan program perakaunan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA) mencatat kedudukan yang baik dalam ranking dunia mencerminkan kualiti pelajar dan pensyarah TISSA.
Selain itu, kedudukan dan prestasi program perakaunan TISSA UUM yang semakin meningkat dalam penarafan dunia juga membuktikan bahawa UUM mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

“UUM dan TISSA berterima kasih kepada penyumbang sama ada di UUM dan pihak luar seperti nama besar dalam perniagaan dan pengasas Yayasan Muhibah, Brigadier Jeneral (Kehormat) Tan Sri Prof. Dr. Fng Ah Seng yang jelas memberi impak kepada pembangunan program pengajian di UUM dan TISSA,” jelas Naib Canselor dalam ucapan sempena Majlis Apresiasi dan Jalinan Mesra Aidilfitri Staf di EDC Hotels & Resorts Sintok.
Majlis itu diadakan bagi menghargai semua warga TISSA yang menyumbang kepada pencapaian cemerlang TISSA sepanjang tahun lalu sehingga berjaya menduduki tangga 101 terbaik dunia dalam penarafan QS World University Rankings.

Ia juga sebagai pengiktirafan kepada peranan semua warga TISSA UUM yang menjadi tunjang pelbagai kejayaan pusat pengajian dalam bidang akademik, penerbitan dan khidmat masyarakat.
Naib Canselor berharap majlis penghargaan ini dapat menyuntik semangat dan meningkatkan motivasi dalam kalangan warga UUM untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang selain menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim antara pihak pengurusan dan kakitangan.

Pengerusi Yayasan Muhibah yang hadir sebagai tetamu istimewa ke majlis berkenaan turut merakamkan ucapan tahniah kepada UUM dan warga TISSA kerana menduduki tempat kedua keseluruhan dalam mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) UUM bagi tahun 2025.
Beliau berkata, kejayaan tersebut adalah hasil usaha gigih dan komitmen tinggi warga TISSA UUM dalam melaksanakan pendidikan berimpak tinggi. – Noor Zafiera Ahmad Idris



