Mantan Pengarah Pusat Zakat harap komitmen berterusan di bawah pemimpin terkini
Berita dan gambar Nurul Fathiah Ab Hamid
KUALA LUMPUR, 17 Mac 2025: Majlis penyerahan tugas Pengarah Pusat Zakat dan Wakaf, Universiti Utara Malaysia (PZW UUM) telah diadakan di Royal Lake Club, Tasik Perdana, baru-baru ini.
Sesi penyerahan menyaksikan mantan Pengarah PZW, Prof. Dr. Rosylin Mohd Yusof telah menyerahkan dokumen berkaitan kepada Pengarah PZW baru, Dr. Mohamad Zulkurnai Ghazali yang turut disaksikan oleh Dekan Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Prof. Madya Dr. Mohamad KhadafiRofie dan Timbalan Pengarah PZW, Prof. Madya Bidayatul Akmal Mustafa Kamil.
Dr. Rosylin telah menzahirkan rasa syukur serta penghargaan di atas sokongan sepanjang menerajui PZW, dan meminta supaya komitmen yang telah diberikan oleh PZW diteruskan di bawah pengurusan terkini.
Beliau turut mengingatkan supaya sentiasa mengutamakan usaha gigih demi membantu pelajar asnaf agar tiada yang terbelenggu dengan masalah ketidakcukupan kewangan sehingga boleh menjejaskan tumpuan pengajian mereka.
Sementara itu, Dr. Mohamad Zulkurnai merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan buat Prof. Dr. Rosylin di atas kepimpinan dan segala tunjuk ajar yang telah diberikan oleh beliau semasa mengemudi kepimpinan PZW.
Menurutnya, meskipun PZW merupakan sebuah PTJ yang kecil namun impak yang diberikan oleh PZW adalah besar selaras dengan hasrat UUM untuk memberikan kualiti pendidikan yang terbaik bagi setiap mahasiswanya.
Beliau turut mengajak warga PZW untuk terus berikan komitmen supaya legasi yang ditinggalkan oleh Dr. Rosylin yang pernah menerima pengiktirafan sebagai ‘Most Influential Women in Islamic Business & Finance 2022’ ini disuburkan lagi.
Majlis turut diserikan dengan sesi berbuka puasa bersama mantan PZW UUM itu bagi mengeratkan silaturahim dan membincangkan inisiatif masa depan dalam pengurusan zakat dan wakaf demi memajukan lagi UUM sebagai sebuah universiti pengurusan terkemuka yang disegani bukan sahaja di rantau ini malah ke seluruh dunia.