Kerjasama STHEM dan MOTAC Kedah tingkat ekonomi komuniti melalui program Pengalaman Homestay
Gambar STHEM
PADANG TERAP, 9 APRIL 2025: Pensyarah dari Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengambil inisiatif dalam usaha memperkasakan ekonomi komuniti di Kampung Kubang Palas, Padang Terap melalui program Pengalaman Homestay.
Felo Penyelidik di Langkawi International Tourism and Hospitality Research Centre (LITH), Dr. Azizah Ismail bersama Penyelaras SULAM STHEM, Dr. Norwani Mohd Nazari telah mengadakan pertemuan dengan pegawai dari Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Negeri Kedah untuk membincangkan strategi pembangunan ekonomi setempat.
Pertemuan tersebut turut dihadiri oleh Penolong Pengarah, Syarifah Nattassyya Aidid dan Pegawai Bahagian Pembangunan Industri, Norfaizaton Khamis.
Dr. Norwani berkata, inisiatif ini bertujuan untuk memperkasakan program pengalaman homestay yang autentik dan menarik, dengan harapan dapat meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat melalui sektor pelancongan yang mampan.
Menurutnya, MOTAC memainkan peranan penting dalam mempermudahkan proses pendaftaran dan menyediakan latihan kepada pengusaha homestay, sejajar dengan usaha meningkatkan standard industri pelancongan melalui sokongan dan bimbingan kepada penggiat industri.
Sebagai langkah awal, satu program rintis dijadualkan berlangsung dari 24 hingga 26 April ini melibatkan penyertaan 30 pelajar STHEM sebagai peserta.
Program ini diharapkan dapat mempromosikan budaya dan warisan tempatan kepada pelancong, sambil memberikan pengalaman langsung kepada pelajar mengenai operasi homestay dan interaksi dengan komuniti setempat.
Sementara itu, Penolong Pengarah MOTAC Kedah, Syarifah Nattassyya berkata, pihak kementerian komited untuk memastikan Program Pengalaman Homestay di Kedah berdaya maju dan lestari.
Beliau menekankan bahawa kerjasama antara institusi akademik seperti UUM dan agensi kerajaan adalah penting dalam merealisasikan matlamat ini, serta memastikan manfaat ekonomi dan sosial dapat dirasai oleh komuniti setempat. – Dr. Azizah Ismail