UUM perluas jaringan global di EURIE 2025, meterai LoI bersama Istanbul Aydin University
Berita dan gambar Mohd Azri Md Nadzir
ISTANBUL, 10 April 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh kedudukannya di pentas antarabangsa apabila menjalin kerjasama strategik bersama Istanbul Aydin University melalui pemeteraian Surat Hasrat (LoI) di pentas berprestij Eurasia Higher Education Summit (EURIE) 2025 di Turkiye.
Majlis menandatangani LoI tersebut disempurnakan oleh Presiden Istanbul Aydin University, Prof. Dr. Mustafa Aydin dan wakil rasmi UUM, Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani. Lebih bermakna, majlis bersejarah ini turut disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Dr. Azizuddin berkata, kerjasama ini membuka ruang luas kepada inisiatif akademik, penyelidikan dan mobiliti pelajar serta pensyarah antara kedua-dua universiti.
Menurutnya, ianya selari dengan aspirasi UUM untuk menjadi sebuah universiti pengurusan terulung yang berdaya saing di peringkat global, selain menyokong agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi Malaysia.
“Langkah ini sebagai satu detik penting dalam membina jaringan akademik antara Malaysia dan Turkiye, khususnya dalam bidang pengurusan, sains sosial dan pembangunan dasar awam.
“Kami melihat kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh aspek akademik dan penyelidikan, tetapi juga menyemarakkan pertukaran budaya dan pemahaman antara dua negara yang mempunyai sejarah dan potensi strategik tersendiri,” katanya.
Dengan termeterainya LoI ini, UUM dan Istanbul Aydin University bersedia merangka pelbagai program bersama termasuk persidangan bersama, pertukaran pelajar dan pensyarah, serta projek penyelidikan berimpak tinggi.
EURIE 2025 yang menghimpunkan lebih 2,000 delegasi dari seluruh dunia menjadi platform terbaik untuk UUM mengukuhkan lagi jalinan strategik antarabangsa, sejajar dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi untuk melonjakkan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau dan global.
Tahun lepas, UUM menandatangani Memorandum Persefahaman dengan lima universiti di Turkiye ialah Karabuk University, Ankara Yildrim Beyazit University, Dicle University, Gebze Technical University dan Mardin Artuklu University.
Majlis menandatangani MoU berlangsung di Istanbul tiu disaksikan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman.