General

Karya animasi kreatif alumni BCIM SCIMPA hiasi skrin digital gergasi Bukit Bintang

Gambar SCIMPA

KUALA LUMPUR, 13 April 2025: Pencapaian warga alumni Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) adalah penanda aras kecemerlangan individu dan sedikit sebanyak kepada pusat pengajian.

Antaranya, apabila alumni UUM, Nor Fatin Sofea Ahmad Termizi yang baru tamat pengajian dalam Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif (BCIM) telah terlibat dalam penghasilan iklan animasi kreatif pada skrin digital besar di Bukit Bintang, menggunakan konsep DOOH (Digital Out-Of-Home) dan FOOH (Fake Out-Of-Home) untuk syarikat minyak masak ternama, Seri Murni.

Nor Fatin yang kini berkhidmat sebagai Game Designer 3D di SNS Network, terlibat dalam pembangunan model 3D, animasi, dan reka bentuk antara muka pengguna (UI) untuk permainan dan karya terkininya bersama ahli kumpulannya telah ditayangkan di lokasi strategik ibu kota, memanfaatkan teknologi paparan digital terkini.

Walaupun terikat dengan kerahsiaan (PnC) dalam proses kreatif tersebut dan tidak boleh mendedahkan maklumat lanjut, beliau menegaskan bahawa kolaborasi berpasukan menjadi tunjang kejayaan projek tersebut.

Sejak 10 bulan lalu, Fatin Sofea menyumbang kepakaran dalam mereka bentuk dunia maya dan peringkat permainan di SNS Network, syarikat teknologi berpusat di Ipoh dengan cawangan di Pulau Pinang, Petaling Jaya, dan Sarawak.

Beliau berkongsi cabaran utama dalam industri ini: “Beban kerja tinggi dan tekanan untuk memenuhi tarikh akhir sering berlaku, tetapi ia mengajar saya disiplin serta kreativiti dalam menyelesaikan masalah”.

“Saya akui bahawa latihan akademik dalam bidang animasi kreatif dan reka bentuk permainan membentuk asas kemahiran.

“SCIMPA memberikan saya pendedahan kepada alat seperti Unity dan Blender, yang kini menjadi teras kerjaya saya,” katanya.

Beliau turut menyeru pelajar SCIMPA untuk memanfaatkan peluang jaringan industri yang disediakan oleh pusat pengajian.

Selain daripada itu, beliau turut merakamkan terima kasih kepada tenaga pengajar di SCIMPA yang banyak mencurahkan ilmu yang berguna.

“Antara tenaga pengajar yang banyak memberi inspirasi dan bimbingan kepada saya ialah Dr. Fitri Yusof dan Dr. Abdul Syafiq Bahrin, yang merupakan pakar dalam bidang 3D.

“Tidak lupa juga pada pensyarah-pensyarah yang lain yang saya percaya pengalaman mereka sangat berharga dalam membentuk pemahaman saya tentang industri kreatif. Belajar di SCIMPA memberi saya peluang luas untuk mendalami bidang ini dan mempersiapkan diri untuk dunia pekerjaan,” katanya.

Pautan kepada iklan Seri Murni: https://www.facebook.com/NaraMedia/videos/3776855905907501/

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button