TYT Pulau Pinang lancar buku 1 Juta Pokok, 1 Hari, 1 Komuniti terbitan UUM Press
Gambar Hairul Nizam Zahari
SINTOK, 16 April 2025: Kejayaan program Penanaman 1 Juta Pokok dalam Sehari kini diabadikan dalam sebuah buku bertajuk 1 Juta Pokok, 1 Hari, 1 Komuniti, yang diterbitkan oleh UUM Press.
Buku ini mendokumentasikan kejayaan kerajaan negeri Pulau Pinang dalam melaksanakan program tersebut bersempena dengan sambutan Hari Bumi pada 22 April 2024.
Majlis pelancaran buku ini telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang di Kompleks Konvensyen, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Amal Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Sr. Rozali Mohamud berkata, pelancaran buku ini merupakan satu pencapaian penting, kerana ia bukan sahaja mendokumentasikan program tersebut dalam bentuk visual dan naratif yang mudah difahami, tetapi juga berfungsi sebagai sumber rujukan yang bermakna.
Menurutnya, program yang unik ini membuktikan bahawa teori boleh diterjemahkan ke dalam tindakan nyata. Bermula daripada inspirasi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, sasaran untuk menanam 1 juta pokok dalam sehari berjaya direalisasikan dan menjadikannya yang pertama seumpamanya di Malaysia.
“Program ini memiliki nilai akademik yang signifikan, menggabungkan teori dan amalan dengan pendekatan 5W 1H, serta strategi yang jelas dan berkesan dalam pencapaian objektifnya.
“Di bawah bimbingan serta idea daripada Tuan Yang Terutama, program ini mendapat sambutan yang luar biasa dari pelbagai lapisan masyarakat, merentas daerah, jawatan, dan peringkat umur,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa pada 22 April 2024, pokok ke-1,000,000 berjaya ditanam, menjadikan program ini sebagai game changer dalam usaha melestarikan alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.
Dalam aspek penyertaan, sebanyak 338 sekolah turut serta dalam program ini dengan lebih daripada 121,000 pelajar terlibat. Sebanyak 154,673 pokok gelam paya menghiasi sekolah-sekolah tanpa memerlukan peruntukan modal, sementara 183,941 pokok limau kasturi telah ditanam di seluruh negeri Pulau Pinang.
Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan menyatakan bahawa pelancaran buku ini membawa mesej yang penting mengenai kelestarian alam sekitar serta semangat kebersamaan dalam komuniti.
“Warga UUM berbangga dapat berkolaborasi dalam penerbitan naskhah ini. Ia bukan sekadar dokumentasi, tetapi juga simbol perjuangan kolektif dalam menghadapi isu perubahan iklim dan pemeliharaan biodiversiti.
“Ia mencerminkan sinergi antara akademia, komuniti, dan kerajaan dalam menjayakan aspirasi pembangunan lestari,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada penulis dan penyelidik dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) dan Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), serta UUM Press atas usaha gigih mereka dalam menghasilkan buku yang bernilai ini.
Majlis turut menyaksikan sesi penyerahan cek berjumlah RM35,000 bagi Geran Percetakan Buku 1 Juta Pokok, 1 Hari, 1 Komuniti (RM20,000) kepada Pengarah UUM Press, Prof. Sr. Dr. Mohd Nasrun Mohd Nawi; sumbangan RM10,000 kepada Kelab Patriot Chapter Pulau Pinang yang diterima oleh Presidennya, Siti Nurul Aulia Abdul Malek; serta wakaf buku sebanyak RM5,000 yang diserahkan kepada Pengarah Pusat Zakat dan Wakaf UUM, Dr. Zulkurnai Ghazali.
Terdahulu, Tun Ahmad Fuzi turut berkesempatan menanam pokok sebagai simbolik Majlis Pelancaran Buku 1 Juta Pokok, 1 Hari, 1 Komuniti di pekarangan Kompleks Konvensyen.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani, serta Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.