Delegasi Projek Wakaf UPSI dan MAIK perkasa Projek Wakaf IBEEC UUM
Gambar Muhamad Syamsul Akmal Mohd Nasir
SINTOK, 16 April 2025: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Bahagian Wakaf, Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) telah menganjurkan sesi perkongsian dua hala bersama delegasi Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sadaqah (WEZAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Bilik Mesyuarat FWD IBS, UUM, baru-baru ini.
Sesi perkongsian ini telah dihadiri oleh Ketua Bahagian Wakaf, MAIK, Ahmad Zaki Ghazali; Pengarah WEZAS, UPSI, Prof. Madya Dr. Mohd Nasri Abdul Latif; Dekan IBS, Prof. Madya Dr. Selamah Maamor, dan juga wakil dari Jabatan Bendahari, Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Infrastuktur dan Jabatan Undang-Undang serta para pensyarah IBS.
Dr. Selamah berkata, kejayaan dalam mengurus projek wakaf yang dikendalikan oleh WEZAS, UPSI untuk pembinaan Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami yang menelan belanja sekurang-kurangnya RM14 juta menjadi inspirasi untuk menjayakan projek pembinaan bangunan IBEEC (Islamic Business Education Excellence Centre) akan menempatkan IBS, Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ) dan Pusat Zakat dan Wakaf (PZW), UUM pada masa hadapan.
Menurutnya, antara tujuan utama penganjuran sesi perkongsian dua hala ini ialah bagi membincangkan secara langsung pelbagai aspek teknikal, pengurusan dan kewangan berkaitan perlaksanaan projek wakaf IBEEC di antara pihak IBS, MAIK dan pusat-pusat tanggungjawab UUM, di samping perkongsian pengalaman pihak WEZAS dalam pembinaan harta wakaf.
“Hasil daripada sesi perkongsian ini dilihat telah memberi sinar baru dan harapan yang tinggi bagi pihak MAIK, PTJ yang terlibat dan IBS secara khususnya untuk menjayakan projek wakaf IBEEC ini yang yang bakal dilaksanakan nanti,” katanya. – Dr. Mohd Badrul Hakimi Daud